
URDA, 28 Oktober – Sekurang-kurangnya 64 orang maut manakala lebih 100 lagi cedera dalam perlanggaran dua kereta api berkelajuan tinggi di selatan Madrid pada Rabu, dengan angka korban dijangka meningkat.
- Kereta api Renfe merempuh belakang kereta Iryo; beberapa gerabak tergelincir dan terbalik, serpihan logam bertaburan.
- 58 mangsa dibawa ke hospital, 15 dalam keadaan kritikal; operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.
- Kejadian kedua maut tahun ini di laluan Madrid-Seville; punca belum diketahui; PM Sanchez dan pemimpin Eropah menyampaikan takziah.
Ketua Wilayah Castilla-La Mancha, Emiliano Garcia-Page berkat, jumlah kematian itu mungkin bertambah berikutan operasi mencari dan menyelamat yang masih dijalankan.
Sebuah kereta api merempuh bahagian belakang sebuah lagi kereta api sehingga beberapa gerabak tergelincir dan terbalik di cerun, menyebabkan serpihan logam bertaburan.
Menurut jurucakap kerajaan wilayah Castilla-La Mancha,daripada lebih 100 mangsa yang cedera, 58 telah dibawa ke hospital, termasuk 15 yang berada dalam keadaan kritikal.
Pengendali kereta api milik negara, Renfe, mengesahkan laluan utama berkelajuan tinggi dari Madrid ke selatan Sepanyol digantung susulan insiden membabitkan perkhidmatannya dengan kereta api milik syarikat swasta, Iryo.
Iryo memaklumkan kereta apinya membawa 147 penumpang dan lima kakitangan, termasuk pemandu, ketika dirempuh dari belakang oleh perkhidmatan Renfe.
Kemalangan itu merupakan nahas kereta api maut kedua di Sepanyol tahun ini, sekali gus mencetuskan kebimbangan baharu mengenai aspek keselamatan rangkaian rel negara itu.
Pada Januari lalu, perlanggaran dua kereta api berkelajuan tinggi berhampiran Adamuz di selatan Sepanyol mengorbankan 46 orang, menjadikannya nahas kereta api paling buruk di negara itu sejak 2013.
Kedua-dua kemalangan tahun ini berlaku di laluan yang menghubungkan Madrid dengan Seville. Punca nahas terbaharu masih belum diketahui.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, yang dijadual mengunjungi lokasi kejadian, menyifatkan insiden itu sebagai mengejutkan dan menyampaikan sokongan kepada mangsa serta keluarga mereka.
Ucapan takziah turut disampaikan pemimpin Eropah, manakala Persekutuan Bola Sepak Sepanyol menangguhkan 24 perlawanan pusingan pertama Copa del Rey sebagai tanda penghormatan dan solidariti kepada mangsa.- AFP