
KUALA LUMPUR, 7 September – Pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang sah masih tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
- Pemegang kad UNHCR boleh dikenakan tindakan seperti PATI jika melakukan kesalahan imigresen lain, termasuk bekerja tanpa permit sah.
- Majikan yang menggaji pemegang kad UNHCR tanpa kebenaran sah boleh dikenakan tindakan menurut undang-undang.
- Hanya dua kesalahan dikecualikan: tiada dokumen perjalanan atau pas sah, dan tinggal melebihi tempoh.
- Pengurusan pelarian dikendalikan ikut dasar MKN No.23 dan Jawatankuasa Kabinet; KDN dan JIM melaksanakan pendaftaran melalui Program DPP.
Mereka boleh diambil tindakan seperti Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sekiranya melakukan kesalahan imigresen lain, termasuk bekerja tanpa pas atau permit yang sah.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa warga Rohingya pemegang kad UNHCR, bukan PATI.
“Majikan yang menggaji pelarian pemegang kad UNHCR tanpa kebenaran yang sah juga boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, hanya dua kesalahan di bawah Akta Imigresen dikecualikan bagi pemegang kad UNHCR, iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah serta kesalahan tinggal lebih masa.
“Pengecualian terhadap kedua-dua kesalahan ini tidak bermaksud pemegang kad UNHCR dikecualikan daripada pematuhan terhadap peruntukan lain di bawah Akta Imigresen,” katanya.
Jelas beliau, pengurusan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia dilaksanakan berdasarkan dasar kerajaan yang diselaraskan menerusi Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No.23.
Dasar berkenaan turut diselaraskan melalui Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelarian dan Pemohon Suaka yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JIM dipertanggungjawabkan melaksanakan pendaftaran pelarian serta pemohon suaka di negara ini menerusi Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).
“Pelaksanaan DPP bertujuan membolehkan kerajaan mempunyai data yang lebih menyeluruh dan teratur berkaitan keberadaan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia,” katanya.
Sebarang keputusan berkaitan pengurusan pelarian tertakluk kepada dasar yang ditentukan MKN melalui Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelarian dan Pemohon Suaka.