
SEREMBAN, 26 September – Acara larian denai tahunan, Angsi Forest Challenge (AFC) di Taman Eko Rimba Ulu Bendul terus mendapat sambutan menggalakan apabila berjaya menarik lebih 900 peserta, termasuk dari lapan buah negara.
- Edisi keempat AFC menjadi platform untuk mempromosi ekopelancongan Negeri Sembilan selaras Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
- Program menawarkan kategori larian termasuk jarak jauh 50 km dan 25 km serta memperkenalkan Kids Trail dua kilometer untuk kanak-kanak bawah 12 tahun.
- Pengurusan memberi penekanan keselamatan melalui Analisis Bahaya Kerja bagi memastikan laluan denai selamat; Gunung Angsi berhampiran bandar jadi aset ekopelancongan.
Penganjuran edisi keempat itu bukan sahaja mengetengahkan aktiviti sukan dan rekreasi, malah menjadi platform bagi memperkukuh promosi ekopelancongan Negeri Sembilan bersempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 (TMNS 2026) dan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Pengarah Perhutanan Negeri Sembilan, Ts. Mohd Yussainy Md Yusop berkata, program anjuran bersama Kerajaan Negeri Sembilan, Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan dan Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan itu menawarkan beberapa kategori larian denai, termasuk larian jarak jauh 50 kilometer dan 25 kilometer.
“Gunung Angsi dan kawasan Ulu Bendul mempunyai nilai strategik dalam pembangunan ekopelancongan negeri berikutan kedudukannya yang berhampiran kawasan bandar.
“Jadi kita ada laluan yang sebenarnya menjadi tarikan biasa orang untuk naik di Bukit Putus dan turun di Ulu Bendul.
“Ini merupakan usaha berterusan Kerajaan Negeri Sembilan dan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan untuk terus memupuk profil ekopelancongan dalam Negeri Sembilan dan Malaysia umumnya,” katanya.
Selain kategori larian sedia ada, penganjuran tahun ini turut memperkenalkan kategori baharu, iaitu Kids Trail sejauh dua kilometer.
Kategori berkenaan terbuka kepada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun sebagai usaha memupuk amalan gaya hidup sihat, selain menyemai rasa kecintaan terhadap alam sekitar sejak usia muda.
Pada program itu, aspek keselamatan peserta turut diberi penekanan menerusi pelaksanaan Analisis Bahaya Kerja (JHA) bagi memastikan laluan denai yang digunakan berada pada tahap selamat sepanjang kejohanan.