Dunia masih terdedah kepada krisis kesihatan besar – WHO

Tedros Adhanom Ghebreyesus/ REUTERS

NEW YORK, 26 September – Dunia masih terdedah kepada risiko krisis kesihatan besar yang seterusnya, demikian amaran Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tedros menggesa negara anggota memuktamadkan lampiran PABS dalam Perjanjian Pandemik untuk mempercepat tindak balas antarabangsa.
  • PABS menyokong perkongsian pantas patogen dan data jujukan genetik serta memastikan akses adil kepada vaksin, rawatan dan diagnostik.
  • Perjanjian Pandemik diterima pakai pada Mei 2025 tetapi hanya boleh ditandatangani selepas lampiran PABS diterima pakai.
  • Kerjasama global menurun; negara digesa meratifikasi perjanjian dan mempertingkat kesiapsiagaan terhadap patogen pernafasan.

Beliau pada masa sama menggesa negara anggota memuktamadkan satu komponen penting dalam Perjanjian Pandemik WHO.

Bercakap kepada wartawan sempena minggu peringkat tinggi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA), Tedros berkata pandemik seterusnya bukan soal jika, tetapi bila ia akan berlaku.

Negara anggota digesa menyelesaikan rundingan mengenai lampiran Akses Patogen dan Perkongsian Manfaat (PABS), yang merupakan komponen utama dalam perjanjian berkenaan.

Sistem itu bertujuan menyokong perkongsian pantas patogen yang berpotensi mencetuskan pandemik serta data jujukan genetik, selain memastikan akses yang adil dan saksama kepada manfaat yang terhasil, termasuk vaksin, rawatan dan alat diagnostik.

Perjanjian Pandemik WHO diterima pakai pada Mei 2025, namun hanya akan dibuka untuk ditandatangani dan diratifikasi selepas negara anggota menerima pakai lampiran PABS.

“Tiada negara mampu melakukannya bersendirian,” kata Tedros sambil menegaskan kerjasama antarabangsa amat penting kerana patogen boleh merebak merentasi sempadan dalam tempoh beberapa jam.

Menurut Tedros, pandemik COVID-19 merupakan krisis kesihatan global paling serius dalam tempoh satu abad, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 20 juta nyawa serta mengakibatkan kerugian lebih AS$10 trilion kepada ekonomi global.

Pandemik itu mendedahkan dan memburukkan kelemahan dalam keselamatan kesihatan global, selain memberikan banyak pengajaran penting kepada dunia.

“Adalah penting untuk dunia mengambil pengajaran daripada pengalaman itu kerana pandemik seterusnya bukan soal jika, tetapi bila?,” katanya.

Tedros berkata Perjanjian Pandemik akan membantu meningkatkan penyelarasan serta tadbir urus sistem kesihatan global.

Bagaimanapun, dunia masih terdedah kepada risiko kerana pelbagai inisiatif berkaitan kesiapsiagaan pandemik masih dalam proses dibangunkan.

“Salah satu kebimbangan yang membuatkan saya terus memikirkannya ialah kemungkinan patogen pernafasan muncul,” katanya.

Sehubungan itu, Tedros menggesa negara anggota memuktamadkan lampiran PABS dan memulakan proses ratifikasi Perjanjian Pandemik bagi memastikan dunia lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Menurut Tedros, momentum kerjasama global yang tercetus ketika pandemik COVID-19 kini semakin berkurangan, manakala skala dan kepantasan usaha kesiapsiagaan tidak mencapai tahap yang diharapkan.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.