Sepak takraw negara akhiri kemarau 36 tahun, tewaskan Thailand 2-0

Foto Majlis Sukan Negara

NAGOYA, 25 September – Skuad sepak takraw negara melakar sejarah tersendiri apabila menamatkan penantian kemarau emas selama 36 tahun selepas menumpaskan musuh tradisi, Thailand 2-0 dalam aksi final acara regu berpasukan lelaki pada temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Regu pertama (Mohammad Syahir, Farhan Adam, Mohamad Azlan) menang tiga set 15-9, 5-15, 15-11 ke atas Marukin Phanmakon dkk.
  • Regu kedua (Zulkifli Abd Razak, Muhammad Afifuddin, Aidil Aiman) menamatkan perlawanan dengan kemenangan straight set 15-13, 15-10.
  • Kejayaan itu mengulangi pencapaian skuad pada Sukan Asia 1990 di Beijing.
  • Ekoran kemenangan, skuad sepak takraw menambah pingat emas keempat untuk Malaysia di temasya.

Kejayaan gemilang di Paloma Mizuho Arena itu sekali gus mengulangi pencapaian bersejarah pada Sukan Asia 1990 di Beijing, yang turut menyaksikan skuad negara menundukkan seteru utama berkenaan bagi merebut kejuaraan.

Percaturan kem negara meletakkan regu pertama membariskan Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Farhan Adam dan Mohamad Azlan Alias membuahkan hasil apabila berjaya menyumbang mata pembukaan.

Trio negara mempamerkan aksi bertenaga sebelum mengesahkan kemenangan menerusi pertarungan sengit tiga set 15-9, 5-15, 15-11 menewaskan gandingan Thailand, Marukin Phanmakon, Phutawan Sopa dan Pornthep Tinbangbon.

Momentum positif itu diteruskan regu kedua negara yang dibarisi Zulkifli Abd Razak, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Aidil Aiman Azwawi untuk mengesahkan kemenangan mutlak buat kontinjen Malaysia.

Mereka tidak berdepan masalah besar untuk menundukkan tentangan Kritsanapong Nontakote, Tanaphon Sapyen dan Wuttinu Kamsanor menerusi kemenangan straight set 15-13, 15-10.

Kejayaan penuh bermakna kem sepak takraw itu sekali gus menyumbang pingat emas keempat buat Malaysia pada temasya dwitahunan berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.