
KUALA LUMPUR, 25 September – Peruntukan pembangunan sukan perlu diteruskan dalam Belanjawan Selangor 2027 bagi memastikan momentum kecemerlangan atlet-atlet di negeri berkenaan dapat terus diperkasakan.
- Kejayaan SUKMA dan Para SUKMA 2026 menegaskan kepentingan kesinambungan sokongan bagi latihan dan persiapan atlet.
- Belanjawan perlu menyediakan peruntukan tambahan untuk menaik taraf fasiliti sukan, terutama di kawasan luar bandar.
- Program Sukan Sukses Selangor perlu diteruskan untuk mencari bakat baharu dan perkasa belia melalui latihan serta inisiatif kemahiran.
Exco Belia dan Sukan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, kejayaan Selangor yang muncul sebagai juara Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA 2026 menunjukkan kepentingan kesinambungan peruntukan tersebut demi memastikan latihan serta persiapan atlet dapat dilaksanakan secara konsisten.
“Kita berharap peruntukan pembangunan sukan dapat diberikan pertambahan atau sekurang-kurangnya jumlahnya dikekalkan kerana ia penting dalam memastikan prestasi atlet-atlet kita terus konsisten,” katanya.
Selain peruntukan pembangunan, beliau berharap Belanjawan Selangor 2027 turut menyalurkan peruntukan tambahan bagi menaik taraf fasiliti sukan terutamanya di kawasan luar bandar.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program ‘Kita Selangor’ di Konti Selangorfm di Angkasapuri Kota Media di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd Najwa berkata, kerajaan negeri akan meneruskan program pencarian bakat menerusi Sukan Sukses Selangor melibatkan sembilan daerah, bertujuan melahirkan barisan pelapis baharu.
“Agenda pembangunan belia turut diperkasakan dengan tumpuan kepada belia dalam sektor keusahawanan kreatif dan ekonomi menerusi latihan, pendedahan serta inisiatif peningkatan kemahiran,” katanya lagi.