Young Tigers tamatkan penantian 13 tahun, tempah tiket ke final SOJC 2026

Foto MHC

JOHOR BAHRU, 22 Oktober – Semangat juang luar biasa skuad hoki remaja lelaki kebangsaan menyaksikan mereka mara ke final Piala Sultan Johor (SOJC) 2026 selepas menewaskan Pakistan 3-2 dalam aksi ketiga pusingan liga di Stadium Hoki, Taman Daya, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Young Tigers kembali ke pentas final selepas kali terakhir pada 2013, menamatkan penantian 13 tahun.
  • T. Naaveennash Paniker menjaringkan dua gol, termasuk jaringan penentu pada minit ke-57.
  • Jurulatih Nor Saiful anggap kemenangan pengalaman berharga untuk menambahbaik terutama pukulan sudut.
  • Pengurus Pakistan Ayaz Mahmood berkata anak buah banyak kehilangan peluang, Malaysia bermain berstruktur dan lawan lakukan kesilapan.

Lebih manis, kejayaan itu turut membawa Young Tigers kembali ke pentas final selepas kali terakhir pada edisi 2013, sekali gus menamatkan penantian selama 13 tahun.

Malaysia terlebih dahulu menjaringkan gol pertama perlawanan, hasil pukulan T. Naaveennash Paniker pada minit ke 21, sebelum Pakistan bangkit menyamakan kedudukan pada minit 36, menerusi jaringan Adeel.

Malaysia ketinggalan pada minit 43 selepas Adeel sekali lagi menjaringkan gol untuk Pakistan, sebelum Safwan menyamakan kedudukan untuk Malaysia, pada minit 55.

Gol T. Naaveennash Paniker pada minit 57, mengikat keputusan kemenangan berpihak kepada Malaysia, 3-2.

Jurulatih Young Tigers, Nor Saiful Zaini Nasiruddin melihat kemenangan ke atas Pakistan menjadi pengalaman berharga buat skuad sekali gus menambahbaik prestasi pasukan khususnya dari aspek pukulan sudut penalti.

“Perlawanan menentang Pakistan bermula dengan kelebihan buat pasukan negara apabila pihak lawan menerima kad merah. Situasi tersebut memberi ruang kepada kita untuk terus melancarkan serangan bertali arus.

“Pihak lawan juga melakukan kesilapan terjahan, hingga mengakibatkan mereka dilayangkan kad kuning. Peluang ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh kita untuk menambah satu lagi gol,” jelas Nor Saiful Zaini.

Sementara itu, Pengurus pasukan Pakistan, Ayaz Mahmood berkata anak buahnya banyak kehilangan peluang pada suku pertama dan kedua.

“Malaysia bermain dengan baik…bermain secara berstruktur dan kami pula melakukan beberapa kesilapan,” katanya ketika ditemui RTM.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.