
NAIROBI, 24 Oktober – Kenya melaporkan kematian kedua akibat wabak Ebola, dengan tujuh pesakit kes aktif sedang menerima rawatan di dua kemudahan pengasingan, menurut Kementerian Kesihatan negara itu.
- Kematian melibatkan seorang wanita 65 tahun, ahli keluarga dan kontak rapat pesakit pertama.
- Beliau mula menunjukkan gejala pada 13 Oktober 2026 semasa dalam kuarantin.
- Jumlah korban kini dua daripada sembilan kes yang disahkan, menurut kementerian.
- Semua kes tergolong dalam satu kelompok penularan tanpa bukti penyebaran dalam komuniti.
Kematian terbaharu melibatkan seorang wanita berusia 65 tahun yang mempunyai hubungan langsung dengan pesakit pertama serta merupakan ahli keluarga terdekatnya.
Dia sedang menjalani kuarantin ketika mula menunjukkan gejala pada 13 Oktober 2026.
“Kematian ini menjadikan jumlah korban kepada dua orang daripada sembilan kes yang disahkan,” menurut kenyataan kementerian itu.
Kenya tidak merekodkan sebarang kes virus berjangkit itu sehingga 6 Oktober lalu, apabila seorang lelaki warga negara berkenaan yang menetap di Republik Demokratik Congo (DRC) meninggal dunia selepas pulang ke tanah air.
Kementerian Kesihatan Kenya memaklumkan, semua kes berkenaan berada dalam satu kelompok penularan, tanpa bukti penyebaran dalam komuniti.
Pada Selasa, Amerika Syarikat memberi amaran kepada rakyatnya supaya mengelakkan perjalanan ke Kenya selepas negara terbabit melaporkan kes Ebola kelapan.
DRC telah mengisytiharkan wabak Ebola ke-17 pada Mei lalu dan sejak itu melaporkan lebih 9,000 kes.
Wabak berkenaan turut menular di Uganda dan Nigeria.
Penyakit berbahaya itu telah meragut lebih 15,000 nyawa di Afrika dalam tempoh 50 tahun lalu.
Negara jiran Uganda sebelum ini merekodkan 20 kes jangkitan, hampir kesemuanya melibatkan individu yang melakukan perjalanan dari DRC, serta dua kematian sebelum negara itu diisytiharkan bebas Ebola pada Ogos lalu. – AFP