Kempen Pilihan Raya Brazil terpalit isu media sosial

Foto AFP

GENEVA, 22 Oktober – Pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menggesa gergasi teknologi Meta untuk melindungi kebebasan bersuara politik menjelang Pilihan Raya Presiden Brazil yang kini terpalit dengan pelbagai dakwaan salah guna media sosial.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kedua-dua calon saling menuntut pembatalan kelayakan lawan, meningkatkan ketegangan menjelang pilihan raya.
  • Kempen Lula menuduh campur tangan Meta; pasukan Bolsonaro memfailkan saman menuduh penyalahgunaan kuasa menerusi WhatsApp.
  • Laporan mendapati penangguhan akaun, pengurangan kebolehlihatan dan sekatan tidak seimbang; desakan semak semula sistem moderasi dan AI Meta.

Gesaan itu dibuat susulan ketegangan melampau antara dua calon utama pilihan raya pada Ahad ini, apabila kedua-dua pihak saling mendesak agar pembangkang dan pencabar masing-masing dibatalkan kelayakan bertanding.

Kempen Presiden Luiz Inacio Lula da Silva mengumumkan bakal memohon pembatalan kelayakan saingannya daripada sayap kanan, Flavio Bolsonaro, berikutan dakwaan campur tangan pilihan raya oleh syarikat gergasi Meta.

Sebagai tindak balas, pasukan Bolsonaro memfailkan tindakan mahkamah menuduh Lula menyalahgunakan kuasa menerusi penyebaran maklumat kerajaan secara berperingkat di platform WhatsApp milik Meta.

Bagaimanapun, Meta menegaskan pihaknya telah mematuhi perintah mahkamah Brazil untuk melayan kedua-dua kempen secara adil dan menafikan sebarang tindakan memihak kepada mana-mana calon.

Dalam satu kenyataan bersama, pakar PBB memberi amaran bahawa laporan sekatan ke atas kebebasan bersuara yang sah di platform Meta mencetuskan kebimbangan serius.

“Laporan pemantauan mendapati ribuan akaun dan hantaran mengalami penggantungan, penurunan kebolehlihatan (visibility) serta had perkongsian termasuk akaun wartawan, pembela hak asasi manusia dan pencipta kandungan,” kata kenyataan itu.

Pakar PBB turut mendedahkan maklumat, termasuk daripada pekerja Meta sendiri, menunjukkan akaun yang dikaitkan dengan satu pihak dalam persaingan pilihan raya berkenaan telah disekat secara tidak seimbang, tanpa menamakan calon yang terlibat.

“Meta didesak menilai semula sama ada sistem moderasi, pengesyoran kandungan, serta kecerdasan buatan (AI) milik syarikat itu menyekat satu pihak secara tidak adil dalam debat pilihan raya Brazil.

“Platform digital tidak boleh bertindak sebagai penjaga gergasi (gatekeepers) yang tidak bertanggungjawab dalam perdebatan politik dan sistem mereka tidak sepatutnya terdedah kepada pengaruh tidak wajar oleh mana-mana tokoh politik,” menurut kenyataan itu lagi.

Mereka menegaskan bahawa sistem demokrasi serta pilihan raya yang bebas dan adil amat bergantung kepada ketelusan platform media sosial serta persekitaran yang terbuka.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.