Serangan terbaharu Israel ke atas Gaza membunuh 7 termasuk seorang kanak-kanak

Foto AFP

GAZA, 11 November – Sekurang-kurangnya tujuh rakyat Palestin terbunuh, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun, dalam beberapa serangan udara tentera Israel di Semenanjung Gaza pada Selasa, menurut perkhidmatan kecemasan tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tentera Israel mengesahkan melancarkan serangan terhadap individu didakwa anggota operasi ketenteraan di beberapa kawasan.
  • Serangan menyasarkan kawasan Zeitoun dan sebuah bengkel tukang besi di Bandar Gaza, mengakibatkan kematian.
  • Sebuah khemah penempatan penduduk kehilangan tempat tinggal turut diserang, menimbulkan korban.
  • Sejak gencatan senjata pada 10 Okt 2025, lebih 1,590 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Pertahanan Awam Gaza memaklumkan, dua mangsa termasuk kanak-kanak berkenaan terbunuh dalam serangan Israel di kawasan kejiranan Zeitoun, Bandar Gaza.

Dalam kejadian berasingan di bandar sama, tiga lagi individu terbunuh selepas serangan Israel menyasarkan sebuah bengkel tukang besi, manakala seorang lagi maut apabila sebuah khemah yang menempatkan penduduk kehilangan tempat tinggal diserang.

Di selatan Gaza, seorang rakyat Palestin turut terbunuh akibat tembakan tentera Israel berhampiran Khan Younis.

Menurut agensi berkenaan, pihak hospital yang menerima jenazah mangsa mengesahkan laporan kematian itu.

Ketika dihubungi AFP, tentera Israel mengesahkan pihaknya melancarkan serangan terhadap beberapa individu yang didakwa sebagai “anggota operasi ketenteraan” di beberapa kawasan, namun tidak memberikan butiran lanjut.

Israel dan Hamas saling menuduh antara satu sama lain melanggar perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025, selepas dua tahun konflik yang tercetus susulan serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

Sejak gencatan senjata itu bermula, lebih 1,590 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh di Gaza, menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang beroperasi di bawah pentadbiran Hamas. Angka berkenaan dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam tempoh sama, tentera Israel melaporkan kehilangan tujuh anggota tenteranya serta seorang kontraktor awam. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.