Kerajaan desak siasatan menyeluruh dakwaan layanan kasar terhadap aktivis GSF 2.0

Foto FB rasmi Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Kerajaan mendesak supaya siasatan menyeluruh, bebas dan telus dilaksanakan segera berhubung dakwaan layanan kasar terhadap rakyat Malaysia serta aktivis kemanusiaan yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 ke Gaza baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menteri memandang serius dakwaan layanan fizikal kasar, intimidasi dan penafian hak asas terhadap aktivis yang ditahan.
  • Organisasi hak asasi dan wakil perundangan sedang mengumpul testimoni serta bukti berkaitan insiden berkenaan.
  • Kerajaan menuntut kebajikan, maruah dan hak perundangan aktivis dihormati; usaha diplomatik dan pemantauan rapi diteruskan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau memandang serius dakwaan melibatkan layanan fizikal kasar, unsur intimidasi serta penafian hak-hak asas terhadap aktivis yang dilaporkan ditahan ketika menyertai misi kemanusiaan itu.

“Saya turut mengikuti rapat perkembangan membabitkan rakyat Malaysia serta aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang dilaporkan ditahan ketika menyertai misi kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita pastinya amat prihatin apabila timbul dakwaan melibatkan layanan fizikal yang kasar, unsur intimidasi serta penafian hak-hak asas terhadap aktivis yang terlibat,” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook hari ini.

Beliau berkata pelbagai pihak termasuk organisasi hak asasi manusia dan wakil perundangan kini sedang mengumpulkan testimoni serta bukti berkaitan insiden berkenaan.

Menurut beliau, kerajaan kekal tegas dan tidak akan berkompromi dalam soal melindungi keselamatan, kebajikan serta hak rakyat Malaysia di luar negara selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa dan nilai kemanusiaan sejagat.

Saifuddin berkata kerajaan turut menuntut supaya kebajikan, maruah dan hak perundangan semua aktivis yang ditahan dihormati serta dilindungi sepenuhnya.

Selain itu, beliau berkata usaha diplomatik perlu diteruskan secara konsisten bagi mengelakkan sebarang peningkatan ketegangan yang boleh menggugat kestabilan dan keselamatan antarabangsa.

“Kerajaan akan terus memantau perkembangan perkara ini secara rapat dan memastikan kepentingan serta keselamatan rakyat Malaysia sentiasa diberikan keutamaan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.