
KUALA LUMPUR, 28 Oktober -Keluarga berpendapatan sederhana tetapi menanggung ibu bapa, anak dan cucu berisiko terlepas daripada bantuan kerajaan jika kelayakan hanya dinilai berdasarkan pendapatan.
- Penyusunan semula dan pengemaskinian data STR dan SARA bagi mengesan keluarga yang benar-benar memerlukan.
- Penilaian menyeluruh mengambil kira jumlah tanggungan, lokasi tempat tinggal dan pekerjaan serta perbezaan kos sara hidup.
- Penyepaduan data untuk mengesan pendapatan tidak direkod, termasuk pekerja ekonomi gig dengan pendapatan tidak tetap.
- Agihan bantuan perlu lebih tepat kerana sumber kewangan kerajaan terhad, bagi meringankan beban keluarga generasi sandwic dan miskin bandar.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mustazar Mansur berkata penyusunan semula dan pengemaskinian data penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mampu membantu kerajaan mengenal pasti golongan yang benar-benar memerlukan, termasuk keluarga yang berdepan beban tanggungan besar.
Beliau berkata, penilaian lebih menyeluruh perlu mengambil kira jumlah tanggungan isi rumah, lokasi tempat tinggal dan bekerja serta perbezaan kos sara hidup antara bandar dan luar bandar.
“Pendekatan itu juga berpotensi membantu golongan miskin bandar yang berdepan peningkatan kos sara hidup, selain keluarga yang tergolong dalam kumpulan generasi sandwic kerana perlu menanggung ibu bapa dan anak-anak dalam satu isi rumah.
“Saya harap nasib mereka terbela walaupun dari segi pendapatan mereka tidak layak tetapi disebabkan oleh tanggungan yang besar. Dengan ini mereka akan dapat sedikit kelegaan daripada kerajaan apabila penstrukturan ini berlaku,” katanya.
Beliau berkata, penyepaduan data juga penting untuk membantu kerajaan mengenal pasti pendapatan yang tidak dapat direkodkan dengan tepat, termasuk dalam kalangan pekerja ekonomi gig yang mempunyai pendapatan tidak tetap.
Katanya, langkah itu wajar diteruskan memandangkan sumber kewangan kerajaan untuk menyalurkan bantuan seperti STR dan SARA adalah terhad, sekali gus memerlukan agihan yang lebih tepat kepada kumpulan sasar.