Operasi pusat data tidak jejas bekalan air

Garis panduan pembangunan pusat data menetapkan operator wajib menyediakan tangki simpanan air dalam premis masing-masing dengan kapasiti minimum

KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Pelan kontingensi ketat yang ditetapkan kerajaan termasuk larangan pembinaan di kawasan rizab air rendah serta mewajibkan penggunaan sumber air terawat semula bertujuan memastikan kepesatan operasi pusat data tidak sesekali mengorbankan keperluan air dan elektrik rakyat khususnya ketika musim kemarau atau gangguan bekalan luar jangka.

RINGKASAN BERITA AI
  • DCTF meletakkan keutamaan kepada pengguna awam dan keselamatan grid sebelum sebarang kelulusan pusat data diberikan.
  • Pembinaan pusat data di lokaliti dengan margin rizab air kritikal diharamkan; setiap premis wajib sistem penimbal kendiri.
  • Operator wajib menyediakan tangki simpanan air minimum dua hari serta guna sumber alternatif seperti air pulih guna, kitar semula dan penuaian hujan.
  • Keutamaan bekalan elektrik melalui EFG TNB; pusat data perlu penjana sokongan segera, kuota minimum 30% TBB dan galakan SelCo tanpa eksport.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof menjelaskan ke pengetahuan Sidang Dewan Rakyat berkata langkah tegas itu
diperincikan menerusi Data Centre Task Force (DCTF) yang meletakkan mekanisme keutamaan kepada pengguna awam dan keselamatan grid nasional sebelum sebarang kelulusan diberikan.

“Kerajaan melaksanakan sekatan penempatan secara bersasar dengan pemaju dihalang sama sekali daripada membina pusat data di lokaliti yang mencatatkan margin rizab air kritikal.

“Keperluan itu bagi mengelak tekanan terhadap sistem agihan awam sekiranya berlaku krisis bekalan dengan setiap premis pusat data kini diwajibkan menyediakan sistem penimbal kendiri, selain beralih daripada kebergantungan kepada air terawat konvensional.

“Di bawah garis panduan pembangunan pusat data, operator diwajibkan menyediakan tangki simpanan air dalam premis masing-masing dengan kapasiti minimum untuk dua hari penggunaan.

“Selain itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menetapkan syarat ketat mewajibkan pemaju meneroka dan menggunakan sumber alternatif bagi sistem penyejukan, merangkumi air pulih guna, air kitar semula serta penuaian air hujan,” katanya menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkaitan pelan kontingensi kerajaan untuk memastikan operasi pusat data tidak mengganggu keperluan penggunaan elektrik dan air rakyat ketika kemarau atau gangguan bekalan, termasuk syarat penggunaan pada waktu krisis, larangan pembinaan di kawasan tertentu, kewajipan menggunakan air terawat semula dan mekanisme keutamaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Fadillah turut menjelaskan, pelan mitigasi kecemasan operator air turut merangkumi penghantaran bekalan secara berjadual, lori tangki, tangki statik dan bantuan rentas negeri sekiranya kemarau atau gangguan bekalan mencapai tahap genting bagi menjamin agihan domestik terus terlindung.

“Dari aspek keutamaan bekalan elektrik, keutuhan sistem grid dan hak pengguna domestik kekal menjadi pertimbangan utama melalui saringan teknikal Energy Focus Group (EFG) di bawah Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Sebagai mekanisme kawalan ketika waktu krisis dan tempoh beban puncak, pusat data disyaratkan melengkapkan premis dengan penjana sokongan yang boleh diaktifkan serta-merta bagi program tindak balas permintaan sekali gus melegakan tekanan ke atas grid nasional.

“Kerajaan turut menggalakkan inisiatif penjanaan sendiri melalui skim Solar Self-Consumption (SelCo) tanpa eksport balik ke grid bagi mengelakkan peralihan kos kepada rakyat, di samping menetapkan kuota minimum 30 peratus penggunaan Tenaga Boleh Baharu (TBB),”jelasnya.

Sehingga Ogos lepas, jumlah kapasiti elektrik yang dimeterai mencecah 13,346 megawatt (MW), namun penggunaan beban sebenar pada masa ini hanya sekitar 10 peratus iaitu 1,356 MW.

Menjawab cadangan berhubung potensi teknologi loji janakuasa nuklear terapung seperti yang dirintis Indonesia bagi zon perindustrian mereka, Datuk Seri Fadillah memaklumkan kerajaan terbuka menilai kebolehlaksanaannya di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), namun menegaskan aspek keselamatan awam, kerangka perundangan dan piawaian antarabangsa tetap mendahului sebarang pertimbangan komersial.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.