Pendaki hilang: Keadaan mangsa masuki fasa kritikal

Datuk Sayani Saidon

TAPAH, 28 Mei – Keadaan pendaki wanita Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Batu Putih di sini sejak 23 Mei lepas dijangka memasuki fasa kritikal selepas dipercayai hilang lebih 72 jam dalam kawasan hutan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi SAR diperluas ke kawasan Sungai Ayer Busok berdasarkan petunjuk awal di lokasi kejadian.
  • Pencarian dijangka diteruskan dua hingga tiga hari lagi bergantung kepada keadaan di lapangan.
  • Pasukan percaya mangsa mungkin turun ke kawasan sungai untuk mendapatkan air kerana tiada punca air sepanjang laluan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini diperluas ke kawasan Sungai Ayer Busok yang dipercayai menjadi salah satu laluan pergerakan mangsa berdasarkan petunjuk awal di lokasi kejadian sebelum ini.

Operasi pencarian dijangka diteruskan dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi bergantung kepada keadaan di lapangan.

“Kita percaya berdasarkan pengalaman, berkemungkinan besar mangsa turun ke kawasan sungai untuk mendapatkan air kerana sepanjang laluan pendakian itu tiada punca air selain bekalan yang dibawanya sendiri.

“Dalam tempoh pencarian tersebut, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sememangnya berdepan kesukaran memandangkan jarak serta ketinggian antara satu puncak ke puncak lain agak mencabar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau Pos Kawalan Bomba (PKB) di Pos Kuala Poh, di sini hari ini.

Pada Ahad, Jaslinda dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Batu Putih sebelum operasi SAR digerakkan secara besar-besaran oleh pasukan penyelamat. Sehingga kini, wanita itu masih belum ditemui.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.