
KUALA LUMPUR, 28 Oktober –Kerajaan disaran memperluas inisiatif menggalakkan budaya menabung dalam kalangan rakyat bagi memperkukuh kestabilan kewangan dan membantu mereka menghadapi ketidaktentuan ekonomi.
- Inisiatif kerajaan mesti ambil kira keperluan kewangan menyeluruh termasuk kos kesihatan, penggunaan digital dan kemudahan simpanan.
- Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah membantu B40 menampung perbelanjaan isi rumah dan pendidikan anak.
- Kos data internet perlu diberi perhatian, terutamanya bagi pengguna yang gunakan talian sendiri untuk urusan pekerjaan dan perniagaan.
- Kempen utamakan produk tempatan perlu dipergiat dan penguatkuasaan berkaitan pencatutan perlu diperkukuh.
Ketua Bahagian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohd Shah Rizan Sazali berkata, kuasa pengguna bukan hanya bergantung pada kemampuan membeli barangan dan perkhidmatan, malah turut merangkumi keupayaan menyediakan simpanan bagi menghadapi keperluan pada masa hadapan.
“Kuasa pengguna bukan sekadar terletak pada kemampuan membeli barangan, tetapi turut bergantung pada keupayaan memiliki simpanan yang mencukupi bagi menjamin kestabilan kewangan dan menghadapi keperluan pada masa hadapan,” katanya ketika menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, di sini, hari ini.
Menurutnya, inisiatif kerajaan perlu mengambil kira keperluan kewangan rakyat secara menyeluruh, termasuk kos kesihatan, penggunaan digital dan simpanan, selain bantuan sedia ada seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Katanya, kedua-dua bantuan itu membantu golongan berpendapatan rendah (B40) menampung perbelanjaan isi rumah serta pendidikan anak-anak, manakala golongan berpendapatan sederhana (M40) mungkin memerlukan pendekatan berbeza mengikut komitmen kewangan masing-masing.
Beliau turut menegaskan kos data internet perlu diberi perhatian, khususnya bagi pengguna yang menggunakan talian sendiri untuk urusan pekerjaan dan perniagaan.
Dalam pada itu, kempen mengutamakan produk tempatan perlu dipergiat bagi menggalakkan pengguna membuat pilihan pembelian yang lebih menjimatkan, di samping menyokong peniaga kecil dan pengusaha tempatan.
Mengulas kenaikan harga barangan, Mohd Shah Rizan berkata penguatkuasaan undang-undang berkaitan pencatutan perlu terus diperkukuh bagi memastikan tindakan tegas diambil terhadap peniaga yang mengaut keuntungan berlebihan.