
CEBU, 8 Mei – Malaysia dan Kemboja hari ini menzahirkan komitmen teguh untuk memperhebat kerjasama strategik dalam pelbagai sektor utama, selain memperkukuh tatakelola keselamatan serantau bagi menangani ancaman jenayah rentas sempadan.
- Perdana Menteri dan Hun Manet bersetuju memperluas kerjasama strategik dalam perdagangan, kewangan, pendidikan tinggi, industri halal, pertanian dan pelancongan.
- Malaysia mengalu-alukan lebih ramai pelajar dan pelancong Kemboja demi keterbukaan serta pembangunan bersama dalam kerangka ASEAN.
- Beliau menekankan kepentingan memperkasa ASEAN sebagai wahana keselamatan, kestabilan dan kemakmuran di tengah ketidaktentuan geopolitik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertemuan dua hala bersama rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet, berlangsung dalam semangat persahabatan yang tinggi demi kesejahteraan rakyat kedua-dua buah negara.
Pada pertemuan berkenaan, beliau menjelaskan bahawa kedua-dua pemimpin bersetuju untuk memperluas jaringan kerjasama dalam sektor perdagangan, kewangan, pendidikan tinggi, industri halal, pertanian, dan pelancongan.
“Malaysia menghargai hubungan yang telah lama terjalin dengan Kemboja. Kami turut memberikan tumpuan khusus terhadap usaha memperkukuh keselamatan serantau, terutamanya dalam membanteras jenayah rentas sempadan serta isu penipuan pekerjaan yang semakin membimbangkan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau.
Ujar Perdana Menteri, Malaysia sentiasa mengalu-alukan kedatangan lebih ramai pelajar dan pelancong dari Kemboja, selaras dengan semangat keterbukaan serta pembangunan bersama di bawah payung ASEAN.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan memperkasa ASEAN sebagai wahana keselamatan, kestabilan, dan kemakmuran serantau yang berpaksikan kepada prinsip saling yakin serta kepentingan bersama.
“Dalam dunia yang semakin berdepan ketidaktentuan geopolitik dan tantangan ekonomi, kekuatan ASEAN adalah kunci utama kepada kestabilan rantau ini,” tambah beliau.