Moto3: Hakim Danish cipta sejarah, naik podium sulung di Itali

Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli mencipta sejarah apabila menghadiahkan podium sulung buat dirinya dalam Kejuaraan Motosikal Dunia selepas menamatkan perlumbaan Moto 3 Grand Prix (GP) Itali di tempat ketiga di Litar Mugello, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tunggangan konsisten membolehkan Hakim Danish mengekalkan saingan rapat di belakang pemenang, Brian Uriarte.
  • Rakan sepasukan Brian, Alvaro Carpe, menamatkan perlumbaan di tempat kedua.
  • Kejayaan itu paling bermakna kerana hadir pada musim pertama beliau bersaing secara sepenuh masa.
  • Podium mengakhiri penantian hampir 10 tahun Malaysia sejak kemenangan Khairul Idham Pawi pada 2016.

Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu mempamerkan tunggangan yang konsisten sepanjang perlumbaan untuk menamatkan saingan di belakang pemenang, Brian Uriarte dari pasukan Red Bull KTM Ajo.

Manakala rakan sepasukan Uriarte , Alvaro Carpe menduduki tempat kedua.

Kejayaan tersebut menjadi detik paling bermakna dalam kerjaya Hakim Danish apabila hadir pada musim pertama beliau bersaing secara sepenuh masa di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia.

Lebih membanggakan, podium di Litar Mugello itu turut menamatkan penantian hampir 10 tahun Malaysia untuk kembali berada dalam kelompok tiga terbaik saingan Moto3 sejak kali terakhir dicapai oleh Khairul Idham Pawi menerusi kemenangan di Grand Prix Argentina 2016.

Pencapaian berkenaan juga membuktikan perkembangan positif Hakim Danish yang beberapa kali hampir menaiki podium selepas mempamerkan aksi kompetitif dalam beberapa pusingan musim ini.

Keputusan di Mugello sekali gus mengukuhkan reputasi Hakim Danish sebagai prospek paling cerah negara dalam arena perlumbaan motosikal antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.