
KUALA LUMPUR, 31 Mei – Skuad hoki wanita bawah 18 tahun (B-18) membelasah Singapura 13-0 dalam aksi kedua Kumpulan A Piala Asia B-18 di Kakamigahara, Jepun, hari ini.
- Skuad bangkit selepas tewas 1-2 kepada India pada perlawanan pembukaan, meraih tiga mata pertama kejohanan.
- Menguasai permainan sejak awal; Nur Qashrina menjaringkan pada minit kelima, Nur Qaisara pada minit ke-15.
- Nurfitrah dan Nur Qaisara masing-masing meledak hatrik; Nur Qashrina dan Nur Zariefah sumbang dua gol setiap seorang.
- Nurfitrah dipilih Pemain Terbaik Perlawanan; Malaysia kini di tangga kedua Kumpulan A, perlukan seri lawan Korea Selatan untuk layak.
Ini selepas skuad negara dikecewakan India 1-2 pada perlawanan pembukaan semalam.
Anak buah Siti Amarina Ruhani bangkit dengan aksi cukup meyakinkan untuk meraih tiga mata pertama kejohanan.
Malaysia menguasai perlawanan sejak awal apabila membuka jaringan seawal minit kelima menerusi Nur Qashrina Azli sebelum Nur Qaisara Qistina Mohd Khairi menggandakan kelebihan pada minit ke-15.
Dominasi skuad negara berterusan apabila Nurfitrah Nadhia Shamsudin, Nur Hidayah Misra Othman, Khaleesya Zahra Khairul Fazly dan Nur Zariefah Dania Mazlan masing-masing menambah jaringan.
Malaysia mendahului selesa 6-0 pada separuh masa pertama.
Memasuki separuh masa kedua, Malaysia terus garang dengan tujuh lagi gol dijaringkan menerusi Nurfitrah, Aqhinatul Safiyyah Hashmi, Nur Qaisara, Nur Zariefah dan Nur Qashrina untuk melengkapkan kemenangan besar 13-0.
Nurfitrah dan Nur Qaisara masing-masing meledak hatrik, manakala Nur Qashrina dan Nur Zariefah masing-masing menyumbang dua gol.
Kecemerlangan Nurfitrah yang menjaringkan tiga gol menerusi jaringan padang turut membolehkannya dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.
Kemenangan besar tersebut meletakkan Malaysia di tangga kedua Kumpulan A dan hanya memerlukan keputusan seri ketika menentang Korea Selatan pada Selasa ini untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir.