KLBA harap penyelesaian isu pusat latihan badminton Cheras

Datuk Seri Dr. Jahaberdeen Mohamed Yunoos/ RTM

KUALA LUMPUR, 31 Mei- Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA) berharap satu penyelesaian dapat dicapai berhubung cadangan penggunaan Arena Badminton Cheras sebagai pusat latihan tetap bagi memperkukuh pembangunan sukan badminton di ibu negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Permohonan kepada DBKL sejak empat tahun lalu masih belum menerima jawapan.
  • KLBA berharap perkara ini dipertimbangkan secara positif demi pembangunan pemain akar umbi.
  • KLBA komited memperkukuh ekosistem badminton melalui kerjasama dengan pihak berkuasa dan kementerian berkaitan.
  • KLBA bergantung kepada 28 kelab swasta dan gelanggang luar; terbuka perbincangan dengan Menteri dan Datuk Bandar.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata permohonan itu telah dikemukakan sejak empat tahun lalu kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), namun masih belum menerima sebarang jawapan.

Beliau berkata KLBA berharap perkara itu dapat dipertimbangkan secara positif demi memperkasakan pembangunan pemain di peringkat akar umbi.

Katanya, KLBA komited untuk memperkukuh ekosistem badminton melalui kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa tempatan serta kementerian berkaitan.

“Jika semua pihak dapat berganding bahu, ia akan memberi impak besar kepada pembangunan badminton, khususnya dalam menyediakan kemudahan latihan yang lebih tersusun dan berkesan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KLBA di Arena Sukan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Menurut beliau, ketika ini KLBA turut bergantung kepada 28 kelab badminton swasta serta penggunaan gelanggang luar bagi memastikan sesi latihan pemain berjalan lancar.

Beliau berkata pihaknya terbuka untuk mengadakan perbincangan lanjut bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud bagi memperhalusi cadangan berkenaan.

Dalam pada itu, AGM KLBA menyaksikan Datuk Seri Dr. Jahaberdeen kekal sebagai presiden bagi penggal 2026 hingga 2030, manakala Datuk Prof. Dr. Sivamurugan Pandian dipilih sebagai timbalan presiden.

Dua jawatan naib presiden dimenangi Dr. Mahendran Ponnudurai dan Ng Chee How.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.