
KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Gandingan baharu beregu lelaki negara, Kang Khai Xing dan Lok Hong Quan memilih untuk tidak meletakkan tekanan berlebihan menjelang penampilan sulung mereka di Kejohanan Badminton Malaysia Super 100, minggu depan.
- Persiapan Khai Xing dan Lok Hong Quan berjalan lancar; keserasian dan komunikasi di gelanggang semakin baik.
- Khai Xing terkesan dipisahkan dari Aaron Tai, tetapi menerimanya secara positif dan mahu fokus memperbaiki diri.
- Hong Quan anggap gandingan baru peluang nilai kemampuan; mereka tidak terburu-buru dan mahu beraksi habis-habisan.
Khai Xing berkata, persiapan bersama pasangan baharunya berjalan lancar dengan tahap keserasian dan komunikasi di gelanggang bertambah baik.
Meskipun keputusan pihak kejurulatihan memisahkannya daripada Aaron Tai memberi sedikit kesan emosi, namun beliau memilih untuk menerimanya dengan positif.
“Mestilah ada sedikit sedih kerana bukan mudah untuk tembus ke ranking 20 teratas dunia. Namun, sekarang saya sudah lupakan perkara itu dan mahu fokus meningkatkan keupayaan diri sendiri terlebih dahulu,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, di sini.
Bagi Hong Quan pula, gandingan baharu ini menjadi peluang untuk menilai kemampuan masing-masing serta mengenal pasti aspek yang masih perlu diperbaiki.
Hong Quan mengakui Khai Xing mempunyai lebih banyak pengalaman di pentas siri Jelajah Dunia, namun mereka tidak mahu terburu-buru meletakkan sasaran tinggi.
“Kami tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri. Ini kali pertama kami bergandingan dalam kejohanan kompetitif.
“Sasaran itu tetap ada, tetapi kami hanya mahu turun beraksi habis-habisan dan berikan yang terbaik di dalam gelanggang,” katanya.
Sebelum ini, beliau bergandingan bersama Faiq Haziq Masawi selama lapan tahun.
Kejohanan berstatus Jelajah Dunia Super 100 itu dijadual berlangsung di Johor Bahru dari 13 hingga 18 Oktober ini.