Abu Samah-Yusshazwan intai emas Para Asia Aichi-Nagoya

Abu Samah dan Yusshazwan ketika memenangi pingat perak pada Sukan Para Asia Hangzhou 2022

KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Beregu lelaki tenis kerusi roda negara, Abu Samah Borhan dan Mohamad Yusshazwan Yusuf, bertekad untuk meneruskan momentum cemerlang sekali gus mengintai peluang mencipta kejutan dengan meraih pingat emas pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya, Jepun yang berlangsung dari 18 hingga 24 Oktober ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rekod antarabangsa menunjukkan mereka kerap menjadi juara acara beregu.
  • Peringkat lalu mereka meraih pingat perak di Hangzhou, membuktikan kebolehan di pentas besar.
  • Saingan Asia sangat sengit dengan Jepun dan Korea Selatan sebagai pilihan utama; undian dan kedudukan pilihan tentukan peluang ke akhir.
  • Keserasian berpasukan dan kekuatan mental kunci untuk menangani tekanan dan kekal kompetitif sehingga hari penentuan.

Abu Samah, yang bakal membuat penampilan keempat di temasya berprestij itu optimis sasaran tersebut realistik berdasarkan rekod kejuaraan yang diraih mereka di pentas antarabangsa, termasuk kejayaan merangkul pingat perak pada edisi lalu di Hangzhou, China.

“Kebanyakan kejohanan antarabangsa yang kami sertai sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami memang sasarkan acara beregu dan kerap muncul juara.

“Di peringkat Asia, saingan memang sengit dengan kehadiran Jepun selaku pilihan pertama dunia dan Korea Selatan sebagai pilihan kedua.

“Namun, jika percaturan menjadi dan kami kekal dalam kelompok pilihan ketiga atau keempat, peluang untuk mara ke peringkat akhir sentiasa ada,” katanya ketika ditemui selepas majlis Goodies Presentation kepada atlet para di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, di sini.

Abu Samah mengakui, peluang untuk memburu emas kali ini 50-50, namun menegaskan mereka akan beraksi habis-habisan sekiranya berjaya melangkah ke pentas akhir.

Sementara itu, pasangan regunya, Yusshazwan berkata, keserasian antara mereka selain kekuatan mental sepanjang perlawanan menjadi kunci utama dalam menangani tekanan dan mengekalkan kedudukan di podium.

“Tekanan itu sentiasa ada, tetapi kami perlu jaga momentum dan mental semasa perlawanan supaya tidak mudah berputus asa.

“Apa yang penting, kami kekalkan persefahaman terbaik sehingga ke hari penentuan,” kata Yusshazwan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.