
SEPANG, 6 Oktober – Keharmonian dan kepercayaan tinggi sesama pemain menjadi kunci kejayaan Harimau Malaya mengekalkan rekod tanpa bolos sepanjang kempen Piala ASEAN FIFA 2026, sekali gus menjadi tonik terbaik buat penjaga gol negara, Haziq Nadzli, membina semula keyakinan menjelang saingan Liga Juara Asia (ACL).
- Kepercayaan dan keharmonian sesama pemain menjadi teras yang mengukuhkan semangat dan keyakinan pasukan.
- Haziq terkejut diberi mandat; kesiapsiagaan serta latihan rapi membantu dia tampil memberikan yang terbaik.
- Kehadiran pemain baharu seperti Bergson, Brad dan Manuel memberi impak segera, meringankan beban pertahanan.
Menurut Haziq, biarpun pada awalnya terkejut diberi mandat mengemudi gawang pada aksi pembukaan, persefahaman utuh dalam kem latihan serta kehadiran pemain baharu berjaya menyerap tekanan di pentas tertinggi antarabangsa.
“Terkejut tu agak terkejut, tetapi orang kata kita kena sentiasa bersedia. Perlawanan pertama hari itu rezeki dapat diturunkan dan saya hanya berikan yang terbaik.
“Bagi saya, rahsia pencapaian ini tak lain tak bukan bermula daripada sesi latihan, keharmonian pasukan dan paling penting seluruh skuad saling percaya antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), di sini, hari ini.
Mengulas mengenai rekod Harimau Malaya yang melakar tiga kemenangan dan satu keputusan seri tanpa bolos, Haziq memuji impak segera pemain baharu seperti Bergson Da Silva, Brad Tapp dan Manuel Hidalgo.
Beliau berkata, kualiti serta transisi pantas trio berkenaan banyak membantu meringankan tugas benteng pertahanan, selain menambah dimensi baharu kepada corak permainan skuad kebangsaan.