
SEPANG, 6 Oktober – Jurang ketahanan fizikal dan intensiti antara saingan domestik dengan kuasa bola sepak serantau perlu segera dirapatkan sekiranya Malaysia mahu melangkah lebih jauh di pentas tertinggi Asia.
- Pendedahan berterusan di pentas ACL diperlukan untuk menaikkan tahap intensiti dan daya saing pemain negara.
- Pemain mesti kekal bertenaga sepanjang 90 minit, cegah kemerosotan tenaga melalui pendedahan kompetitif.
- Suntikan pemain seperti Bergson, Manuel Hidalgo dan Fergus Tierney memberi impak positif serta nafas baharu kepada jentera serangan.
Pengendali sementara skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe berkata, perbezaan tahap intensiti dan daya saing liga tempatan berbanding negara jiran seperti Thailand menuntut penanda aras lebih tinggi, termasuk pendedahan berterusan di pentas Liga Juara Asia (ACL).
Pendedahan sedemikian penting bagi memastikan pemain Harimau Malaya mampu bertahan sepanjang 90 minit, tanpa mudah mengalami kemerosotan tenaga.
Mengulas mengenai tuntutan fizikal yang dihadapi skuad negara sepanjang empat aksi getir di Jakarta, beliau berkata Malaysia tidak boleh leka meskipun berjaya menaiki podium.
“Kita tidak boleh bandingkan Liga Malaysia dengan Liga Thailand. Memang agak berbeza dari segi intensiti dan daya saing.
“Tetapi kita ada pasukan seperti JDT yang beraksi di ACL. Dengan kualiti pemain-pemain tersebut dalam kem Harimau Malaya, saya percaya kita mampu memberi saingan serta cabaran terbaik pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), di sini.
Selain faktor intensiti, Cheng Hoe turut mengenal pasti ketajaman penyudah sebagai elemen kritikal yang wajib diperbaiki menjelang aksi persahabatan menentang China, bulan depan.
Bagaimanapun, beliau berpuas hati dengan suntikan tenaga baharu daripada kehadiran tonggak seperti Bergson Da Silva dan Manuel Hidalgo, selain kemunculan bakat muda, Fergus Tierney, yang memberi impak positif dalam membina keserasian serta nafas baharu di bahagian jentera serangan.
Terdahulu, Harimau Malaya menamatkan kempen Piala ASEAN FIFA 2026 di tempat ketiga selepas menewaskan Vietnam 1-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta.