Junior AiREd BootCamp 2026 lahirkan generasi muda celik teknologi

Foto RTM

PADANG BESAR, 4 November – Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) dengan sokongan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus memperkukuh komitmen dalam melahirkan generasi muda celik teknologi melalui penganjuran Junior AiREd BootCamp 2026 yang berlangsung pada 3 hingga 5 November 2026 di Dewan K3, Bukit Keteri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peserta 150 murid dari 15 sekolah, fokus memperluas akses robotik dan teknologi digital kepada murid luar bandar.
  • Program bermula 2024, mula dengan 100 murid dari 10 sekolah dan berkembang ke 15 sekolah pada 2026.
  • Edisi 2026 guna latihan praktikal mBot2 dua hari: kawalan pergerakan, penggunaan penderia dan navigasi robot.
  • Kerjasama UniMAP dan JPN Perlis sumbang kepakaran, pengajar, fasilitator, panel juri, penyelarasan sekolah dan guru pembimbing.

Program melibatkan seramai 150 murid daripada 15 buah sekolah rendah terpilih di seluruh Perlis, dengan memberi penekanan kepada peluasan akses pendidikan robotik dan teknologi digital, khususnya dalam kalangan murid luar bandar.

Menurut Pengerusi Eksekutif FcoEE, Profesor Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin, Junior AiREd merupakan inisiatif pembangunan bakat muda yang diperkenalkan oleh FCoEE sejak tahun 2024 bagi memperkasakan penguasaan murid dalam bidang Kecerdasan Buatan, robotik, pengaturcaraan dan teknologi digital.

“Pada peringkat awal pelaksanaannya, program itu melibatkan 100 murid daripada 10 buah sekolah menerusi program-program berstruktur sebelum ianya terus diperkembangkan ke 15 buah sekolah tahun ini.

“Sokongan strategik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memainkan peranan penting dalam memperkasa pelaksanaan program pendidikan berimpak tinggi ini.

“Kerjasama tersebut membolehkan FCoEE memperluas akses pembelajaran teknologi kepada murid, khususnya di kawasan luar bandar, sekali gus merapatkan jurang pendidikan digital serta menyokong pembangunan bakat muda yang berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran teknologi masa hadapan.

“Bagi edisi 2026, Junior AiREd BootCamp mengetengahkan pendedahan asas robotik dan pengaturcaraan melalui latihan praktikal menggunakan robot mBot2 selama dua hari, merangkumi kawalan pergerakan, penggunaan penderia dan navigasi robot. Program itu diakhiri dengan pertandingan Coding Challenge pada 5 November 2026,” katanya menerusi kenyataan.

Pelaksanaan program turut diperkukuh melalui kerjasama Universiti Malaysia Perlis yang menyediakan sokongan kepakaran, tenaga pengajar, fasilitator dan panel juri, manakala Jabatan Pendidikan Negeri Perlis memainkan peranan penting dalam penyelarasan penyertaan sekolah dan guru pembimbing.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.