
SELAYANG, 6 Oktober – Malaysia membuka kempen Kumpulan E Kelayakan Piala Asia Wanita Bawah 17 Tahun 2027 dengan kemenangan 1-0 ke atas Syria di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, semalam.
- Skuad negara bermula garang dengan peluang awal Aisha Lynn Faris, percubaan minit kedua mengenai jaring sisi.
- Keisha Adeliena Khalid mencuba dari tengah tetapi rembatan masih tersasar di sebelah kanan gawang.
- Syria mula memberi tekanan; penjaga gol Nurain Qaisara Ali hampir bolos pada minit ke-35 selepas sepakan penjuru.
- Qaseh Riana Dafira Rafiuddin menjaringkan gol pada minit ke-80 menerusi hantaran Lim You, memastikan tiga mata buat negara.
Skuad negara bermula garang dan hampir membuka jaringan seawal minit kedua, namun percubaan Aisha Lynn Faris sekadar mengenai jaring sisi.
Keisha Adeliena Khalid kemudian cuba mencipta ruang dari tengah padang, tetapi rembatannya masih tersasar di sebelah kanan gawang.
Syria pula mula memberi tekanan dan hampir menghukum kesilapan penjaga gol Malaysia, Nurain Qaisara Ali pada minit ke-35 selepas bola hasil sepakan penjuru gagal ditangkap kemas.
Bola sempat terkena bahagian bawah palang sebelum percubaan susulan Masa Mena tersasar ke jaring sisi.
Selepas rehat, corak permainan kekal seimbang dengan kedua-dua pasukan sukar mencipta peluang benar-benar berbahaya.
Malaysia kembali mengancam pada minit ke-67 menerusi sepakan percuma Lim You dari jarak kira-kira 30 meter, namun cubaan itu berjaya ditepis penjaga gol Syria, Media Housain.
Gol yang dinanti akhirnya hadir pada minit ke-80.
Qaseh Riana Dafira Rafiuddin bijak melepasi kawalan pertahanan Syria sebelum menyambut hantaran Lim You dari sebelah kiri dan menolak bola melepasi Housain dari jarak dekat.
Jaringan itu cukup untuk memastikan tiga mata penuh buat skuad negara.