Vallejo mohon maaf kritik pengadil wanita di Terbuka Perancis

Adolfo Daniel Vallejo (kiri) sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas mengkritik pengadil wanita, Ana Carvalho pada aksi di Terbuka Perancis pada pada Khamis/ AFP

PARIS, 30 Mei- Bintang tenis Paraguay, Adolfo Daniel Vallejo memohon maaf selepas mengkritik pengadil wanita yang mengadili perlawanan pusingan keduanya di Terbuka Perancis susulan kekalahannya kepada pemain tuan rumah, Moise Kouame.

RINGKASAN BERITA AI
  • Vallejo mendakwa pengadil Brazil, Ana Carvalho, tidak cukup tegas dalam mengendalikan perlawanan berintensiti tinggi.
  • Beliau berkata komen dibuat ketika terlalu beremosi selepas perlawanan hampir lima jam dan menegaskan beliau menghormati pengadil.
  • Penganjur memaklumkan Vallejo akan dikenakan denda dan mengutuk kenyataan berbaur seksis.

Vallejo sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila mendakwa pengadil dari Brazil, Ana Carvalho tidak cukup tegas dalam mengendalikan perlawanan berintensiti tinggi yang disokong kuat penonton tempatan.

Bagaimanapun, Vallejo kemudian memohon maaf menerusi media sosial dengan menyatakan komen tersebut dibuat ketika emosi selepas perlawanan selama hampir lima jam di Roland Garros.

“Saya menghormati pengadil dan tugas mereka. Selepas perlawanan selama lima jam, saya terlalu beremosi dan memohon maaf,” katanya menerusi Instagram.

Beliau turut menjelaskan bahawa kenyataannya telah disalah tafsir serta menegaskan beliau tidak menyalahkan pengadil atas kekalahan tersebut.

“Saya juga ingin jelaskan bahawa saya tidak menyalahkan kekalahan ini kepada beliau (Ana Carvalho), beliau mengendalikan perlawanan dengan baik,” katanya.

Penganjur Terbuka Perancis sebelum itu memaklumkan Vallejo akan dikenakan denda susulan kenyataannya sambil menegaskan mereka “mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan berbaur seksis”. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.