Malaysia, Thailand perkukuh kerjasama dua hala dan kesatuan ASEAN

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di CEBU, Filipina / BERNAMA

CEBU, 8 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengadakan pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, di sini, bagi memperkukuh hubungan strategik dan kerjasama serantau antara kedua-dua negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mempercepat sasaran perdagangan dua hala bernilai AS$30 bilion menjelang 2027.
  • Memperluas kesalinghubungan rentas sempadan demi pembangunan ekonomi dan mobiliti serantau.
  • Menegaskan penyelesaian pertikaian secara damai berlandaskan undang-undang antarabangsa dan mempertahankan kesatuan ASEAN untuk keamanan serta kestabilan rantau.

Pertemuan tersebut menzahirkan iltizam bersama Malaysia dan Thailand untuk mempercepat sasaran perdagangan dua hala bernilai AS$30 bilion menjelang tahun 2027.

Kedua-dua pemimpin turut menyatakan komitmen memperluas kesalinghubungan rentas sempadan demi manfaat rakyat kedua-dua negara khususnya dalam aspek pembangunan ekonomi dan mobiliti serantau.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua negara turut menegaskan bahawa segala pertikaian perlu diselesaikan secara damai berlandaskan undang-undang antarabangsa serta prinsip diplomasi.

Malaysia dan Thailand juga sepakat mempertahankan kesatuan ASEAN sebagai wahana utama dalam memastikan keamanan dan kestabilan rantau terus terpelihara.

Malaysia kekal komited mendukung pendekatan diplomasi, dialog dan prinsip saling hormat-menghormati dalam memperkukuh hubungan serantau serta kepentingan bersama.

Dalam semangat kejiranan yang akrab, kedua-dua negara akan terus memperhebat kerjasama melibatkan pembangunan kawasan sempadan, jaringan rel dan logistik, keselamatan tenaga, mitigasi banjir serta hubungan rakyat ke rakyat.

Keakraban Malaysia dan Thailand dilihat bukan sahaja meneruskan legasi persahabatan yang telah lama terbina, malah menjadi asas penting dalam membina masa depan rantau yang lebih aman, makmur dan berdaya tahan.