Iran tegaskan tiada perjanjian dengan AS tanpa keputusan nyata

Speaker Parlimen dan Perunding Utama Iran, Mohammad Bagher Qalibaf/Foto Reuters

ISTANBUL, 31 Mei – Speaker Parlimen dan perunding utama Iran, Mohammad Bagher Qalibaf pada Ahad menyatakan bahawa Tehran tidak akan menerima sebarang perjanjian dengan Washington melainkan ia memastikan “hak rakyat Iran terjamin,” lapor Anadolu Ajansi (AA).

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiada kepercayaan terhadap kata-kata dan janji musuh; Iran hanya akan memenuhi komitmen selepas keputusan nyata dicapai.
  • Ketegangan meningkat selepas serangan AS dan Israel; Iran membalas, mensasarkan Israel dan sekutu AS serta menutup Selat Hormuz.
  • Gencatan senjata mulai 8 April melalui pengantaraan Pakistan; rundingan susulan di Islamabad gagal, pertukaran cadangan antara Iran dan AS berterusan.

“Tiada kepercayaan terhadap kata-kata dan janji musuh. Satu-satunya kriteria kami adalah untuk mencapai keputusan yang nyata sebelum kami memenuhi komitmen kami sebagai balasan,” kata Qalibaf yang dipetik oleh penyiar rasmi IRIB semasa sesi parlimen secara maya selepas beliau mengangkat sumpah sebagai speaker parlimen yang dilantik semula.

Ketegangan di Asia Barat memuncak sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada akhir Februari lepas.

Tehran bertindak balas dengan melancarkan serangan menyasarkan Israel serta sekutu AS di Teluk, selain bertindak menutup Selat Hormuz.

Gencatan senjata mula berkuat kuasa pada 8 April menerusi pengantaraan Pakistan, namun rundingan susulan di Islamabad gagal menghasilkan perjanjian yang berkekalan.

Presiden AS Donald Trump kemudiannya melanjutkan tempoh gencatan senjata itu untuk tempoh masa yang tidak ditetapkan.

Sejak itu, Iran dan AS terus saling bertukar cadangan serta usul balas dalam usaha untuk menyambung semula rundingan secara langsung bagi menamatkan perang berkenaan.-Bernama

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.