Bayar RM3,500 seorang kepada ejen, 13 pendatang ditahan PGA

Dua kanak-kanak antara 13 PATI Myanmar ditahan di Jeli pada Ahad/Foto PGA Tenggara

JELI, 1 Jun – Seramai 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar termasuk dua kanak-kanak ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas dipercayai membayar RM3,500 seorang kepada ejen untuk memasuki ke negara ini melalui pangkalan haram di Kampung Wakaf Zin, Ayer Lanas pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi Op Taring Wawasan kira-kira 7.10 malam menahan individu di kawasan ladang kelapa sawit.
  • Siasatan awal: memasuki negara menggunakan bot melalui pangkalan haram awal pagi dengan bantuan ejen dikenali "Turwia".
  • Mereka mengaku membayar ejen untuk masuk dan merancang ke Lembah Klang bagi bekerja.
  • Tiada dokumen pengenalan diri; semua dibawa ke ibu pejabat polis daerah untuk tindakan lanjut; kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c).

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, semua individu berusia antara tiga hingga 35 tahun itu ditahan menerusi Op Taring Wawasan kira-kira pukul  7.10 malam di kawasan ladang kelapa sawit.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesemua PATI terbabit dipercayai memasuki negara ini menggunakan bot melalui pangkalan haram di kawasan Wakaf Zin pada awal pagi dengan bantuan ejen warga Myanmar dikenali sebagai “Turwia”.

“Kesemua mereka mengaku membayar RM3,500 seorang kepada ejen terbabit untuk memasuki Malaysia sebelum dipercayai merancang ke Lembah Klang bagi bekerja sebagai pekerja am dan kilang.

“Pemeriksaan lanjut mendapati semua individu gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya kepada RTM.

Ahmad Radzi berkata, semua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli untuk tindakan lanjut.

Katanya, lelaki dewasa ditahan di lokap IPD Jeli manakala wanita serta kanak-kanak ditempatkan di Lokap Balai Polis Kuala Balah sehingga siasatan selesai.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.