
BIDOR, 1 Jun – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki, Jaslinda Saludin di Gunung Batu Putih memasuki hari kelapan, akan dibantu oleh komuniti Orang Asli dari Kampung Ampang Woh.
- 22 sukarelawan Orang Asli akan membantu pencarian luar trek antara kawasan Kem Sukaneka dan Gunung Rayu.
- Penyertaan dibuat selepas pasukan SAR mengenal pasti kawasan utama berdasarkan petunjuk dan penilaian di lapangan.
- Anggota PGA Bidor dan unit khas Senoi Praaq dihantar kerana mereka mahir dengan keadaan hutan setempat.
- Operasi melibatkan kira-kira 153 anggota pelbagai agensi sejak mula pencarian, menambah skala usaha SAR.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, bermula esok, operasi akan diperkuat dengan penyertaan komuniti itu bagi membantu pencarian yang setakat ini belum menampakkan hasil.
Menurut Datuk Sayani, komuniti ini menawarkan khidmat secara sukarela dengan kekuatan 22 individu yang akan memfokuskan pencarian luar daripada trek mendaki antara kawasan Kem Sukaneka dan Gunung Rayu yang dipercayai menjadi laluan Jaslinda.
Menurut beliau, penglibatan itu dibuat selepas pasukan SAR telah mengenal pasti kawasan pencarian utama berdasarkan petunjuk dan penilaian di lapangan.
“Pasukan SAR sedia ada terutamanya anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 sememangnya terdiri daripada etnik Orang Asli yang mahir dan pakar dengan keadaan hutan setempat.
Seperti di PGA Bidor ini, anggotanya sendiri terdiri daripada unit khas Senoi Praaq di mana mereka turut dihantar dan diturunkan di lokasi pencarian mangsa. Kita sebelum ini merasakan cukup dengan PGA yang mempunyai kepakaran itu,” katanya selepas menyertai SAR di Pusat Kawalan Hadapan operasi SAR Gunung Batu Putih JBPM di Pasukan Gerakan Am Batalion 3 Bidor.
Tambah beliau, kehadiran binatang buas di sekitar kawasan lokasi pencarian menjadi risiko tambahan bukan sahaja kepada mangsa, malah kepada anggota SAR, namun risiko itu dapat dineutralkan dengan kehadiran anggota PGA.
SAR yang memasuki hari kelapan hari ini membabitkan kira-kira 153 keanggotaan meliputi pelbagai agensi termasuk bomba, polis, Malim Gunung Perhutanan (MGP), PGA, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan lain-lain sejak hari pertama pencarian bermula pada 25 Mei lalu.