
JOHOR BAHRU, 8 Mei – Lebih 20 juta rakyat Malaysia tidak perlu tergesa-gesa menukar MyKad lama kepada MyKad baharu sebaik kad pengenalan versi terkini dilancarkan pada 1 Jun ini.
- Kerajaan tidak mewajibkan penukaran MyKad lama kepada MyKad baharu.
- MyKad lama masih sah digunakan, tiada keperluan segera ke pejabat JPN.
- Undang-undang mengkehendaki MyKad bagi warga berumur 12 tahun, tetapi tidak memerlukan pertukaran serentak.
- MyKad baharu dilengkapi ciri keselamatan terkini untuk mengekang pemalsuan dan penyalahgunaan dokumen pengenalan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, kerajaan tidak mewajibkan orang ramai berbuat demikian.
Oleh itu, tidak perlu berpusu-pusu ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana MyKad lama masih sah digunakan.
“Undang-undang mengatakan setiap rakyat Malaysia apabila berumur 12 tahun wajib memiliki MyKad, tetapi undang-undang tidak mengatakan mulai 1 Jun apabila MyKad baharu dikeluarkan, pemegang MyKad lama wajib terus menukar kad mereka.
“Memiliki MyKad adalah satu kewajipan, tetapi tidak disebut semua rakyat perlu menukar kad secara serentak,” katanya selepas meninjau kemajuan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Stesen Bukit Cagar di sini.
Pengeluaran MyKad baharu itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh ciri keselamatan dokumen pengenalan diri negara, selaras perkembangan teknologi semasa.
MyKad baharu dilengkapi pelbagai ciri keselamatan terkini bagi mengekang pemalsuan identiti serta penyalahgunaan dokumen rasmi.