
KUALA LUMPUR, 8 Mei – Tarikh melihat anak bulan Zulhijah bagi tahun 1447 Hijrah ditetapkan pada petang Ahad, 17 Mei 2026 bersamaan 29 Zulkaedah 1447 Hijrah.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menerusi kenyataan media memaklumkan, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa penetapan tarikh awal Zulhijah adalah berdasarkan kaedah rukyah dan hisab.
“Pengisytiharan itu dibuat bagi menyempurnakan titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selepas diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu,” menurut kenyataan itu.
- Penetapan awal Zulhijah dibuat berdasarkan kaedah rukyah dan hisab.
- Pengisytiharan dibuat bagi menyempurnakan titah perintah Yang di-Pertuan Agong selepas diperkenankan Raja-Raja Melayu.
- Sebanyak 29 lokasi cerapan di seluruh negara diperkenankan bagi tujuan melihat anak bulan.
- Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengumumkan keputusan malam yang sama menerusi radio dan televisyen.
Sebanyak 29 lokasi cerapan di seluruh negara diperkenankan bagi tujuan berkenaan.
Antara lokasinya ialah Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail di Pontian, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi di Tanjung Bidara, Melaka; Balai Cerap Negeri Sembilan; serta beberapa lokasi cerapan di Selangor termasuk Bukit Melawati, Bukit Jugra dan Sabak Bernam.
Cerapan turut dijalankan di beberapa lokasi di Perak, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu, Kelantan, Pahang, Sabah dan Sarawak, selain Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya serta Menara Pandang Masjid Al-Hussain Kuala Perlis.
Tarikh awal Zulhijah akan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam yang sama menerusi siaran radio dan televisyen.