
KOTA KUALA MUDA, 8 Mei – Penubuhan tabung khas bencana alam di setiap kawasan parlimen membolehkan bantuan disalurkan segera kepada setiap penduduk yang terjejas dalam bencana, khususnya bagi membaik pulih rumah rosak akibat dibadai ribut.
- Ramai penduduk mengadu rumah belum dibaik pulih walaupun beberapa hari selepas ribut.
- Mangsa terdiri keluarga berpendapatan rendah, tidak mampu menanggung kos pembaikan tinggi.
- Cadangan GLC sumbang RM100,000 setiap parlimen bagi 15 parlimen jumlah RM1.5 juta.
- Tinjauan pejabat kerajaan dilakukan dan bantuan segera dihulurkan; seorang penduduk rayu bantuan dipercepatkan.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohd Yusof berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada penduduk yang ditimpa musibah ribut baru-baru ini yang menyatakan rumah mereka belum dibaik pulih, meskipun kejadian tersebut telah beberapa hari berlaku.
Kebanyakan penduduk terjejas tidak mampu untuk membaik pulih sendiri rumah masing-masing kerana melibatkan kos yang tinggi memandangkan mereka terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan.
“Saya cadangkan setiap parlimen, GLC (Syarikat Berkaitan Kerajaan) Kedah pun dikatakan banyak untung, GLC masing-masing dicadang sumbang peruntukan kepada setiap parlimen RM100,000, 15 parlimen baru RM1.5 juta.
“Ini boleh juga membantu wakil rakyat yang kekurangan peruntukan,” katanya ketika ditemui semasa meninjau beberapa rumah penduduk yang mengalami kerosakan akibat kejadian ribut di Kampung Simpor Tambang di sini.
Tinjauan bersama pegawai Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri dan Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sungai Petani itu dilakukan,selepas menerima aduan penduduk berkaitan rumah mereka belum dibaiki walaupun hampir seminggu kejadian ribut berlaku.
Bantuan segera turut dihulurkan kepada penduduk terlibat.
Sementara itu, salah seorang penduduk terjejas yang ditemui RTM, Ilyas Darus berharap bantuan dapat dipercepatkan.
“Kami terimalah ujian daripada Allah SWT. Semasa kejadian berlaku pukul 5 petang tu, saya tidak sempat buat apa-apa, hanya sempat menyelamatkan televisyen. Saya minta bantulah kerana tidak mampu untuk membaiki kerosakan semua,” rayu Ilyas.