
JITRA, 8 Mei – Pendekatan Pembelajaran Berasaskan Cabaran merupakan kaedah yang lebih dinamik dalam memperkasa pengajaran dan pembelajaran di sekolah
- Menekankan pembelajaran berasaskan cabaran dunia sebenar untuk merangsang pemikiran kritis, kreativiti, komunikasi dan kerjasama murid
- Guru perlu menyesuaikan pendekatan pengajaran agar serasi dengan kehendak semasa dan masa hadapan pendidikan
- Bengkel membina keupayaan pemudah cara, membimbing guru serta memastikan intervensi pendidikan sistematik, berkesan dan berimpak tinggi
- Pengukuhan Komuniti Pembelajaran Profesional dan kaedah Video Kritik dititikberatkan untuk meningkatkan amalan kolaboratif dan refleksi kendiri guru
Pengerusi Eksekutif Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE), Profesor Emeritus Datuk Dr Kamaruddin Hussin berkata, pendekatan ini memberi penekanan kepada pembelajaran berasaskan cabaran dunia sebenar yang mampu merangsang pemikiran kritis, kreativiti, komunikasi dan kerjasama dalam kalangan murid.
Menurut beliau, dalam dunia pendidikan yang semakin mencabar, guru perlu sentiasa bersedia untuk menyesuaikan diri dengan pendekatan pengajaran sedemikian agar selari dengan keperluan semasa dan masa hadapan.
Pendekatan yang berpusatkan murid, Berasaskan Penyelesaian Masalah dan berorientasikan dunia sebenar seperti Pembelajaran Berasaskan Cabaran adalah antara elemen penting dalam memastikan pembelajaran lebih bermakna dan relevan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Kemahiran Pemudah Cara Pembelajaran Berasaskan Cabaran di Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara di sini.
Seramai 45 orang guru yang mengajar subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta lima Pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Perlis menyertai bengkel berkenaan.
Bengkel itu bertujuan membina keupayaan pemudah cara dalam mengendalikan latihan, membimbing guru serta memastikan intervensi pendidikan dapat dijalankan secara sistematik, berkesan dan berimpak tinggi.
Jelas Profesor Emeritus Datuk Dr Kamaruddin, peranan pemudah cara dalam konteks ini amat signifikan yang mana setiap guru bukan sahaja bertindak sebagai penyampai ilmu, tetapi juga sebagai pembimbing, mentor dan agen perubahan yang akan membantu mereka melaksanakan pendekatan Pembelajaran Berasaskan Cabaran dengan lebih berkesan di sekolah masing-masing.
Selain itu, bengkel ini turut memberi penekanan kepada pengukuhan amalan Komuniti Pembelajaran Profesional melalui pendekatan kerjasama dan berasaskan keterangan, termasuk penggunaan kaedah Video Kritik yang mampu meningkatkan keupayaan refleksi kendiri dalam kalangan guru.
Program ini dianjurkan oleh FCoEE dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dan Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara.