
SABAK BERNAM, 8 Mei – Golongan pesawah di Selangor menyambut baik bantuan wang pendahuluan Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) sebanyak RM200 sehektar untuk membantu memastikan aktiviti penanaman padi tidak terjejas.
- Bantuan IPKP membantu pesawah membuat persediaan awal untuk musim penanaman padi.
- Insentif penting ketika pesawah berdepan kenaikan kos sara hidup dan harga input pertanian.
- Kerajaan negeri menambah RM500 untuk meringankan beban selain bantuan persekutuan.
- Bayaran pendahuluan diagihkan secara berperingkat mulai 19 Mei bagi pesawah di Semenanjung.
Menurut mereka, bantuan berkenaan amat penting terutama ketika pesawah berdepan peningkatan kos sara hidup serta kenaikan harga input pertanian ketika ini.
Pesawah, Gan Kian Yong berkata, insentif tersebut mampu membantu pesawah membuat persediaan awal sebelum memulakan musim penanaman padi.
“Ini adalah satu bantuan atau insentif yang sangat bagus kerana pesawah boleh menggunakan bantuan ini untuk membuat persiapan musim penanaman akan datang.
“Saya berharap kerajaan dapat meneruskan bantuan sewajarnya pada masa hadapan supaya pesawah mampu mengharungi peningkatan kos sara hidup,” katanya.
Seorang lagi pesawah, Hairul Nizam Samsuri turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor atas bantuan yang diberikan kepada petani.
“Kerajaan Persekutuan bagi RM200 dan kerajaan negeri tambah RM500 lagi. Jadi keseluruhan RM700 ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban petani,” menurutnya.
Sementara itu, Rashidah Md Saat berkata, bantuan berkenaan dapat membantu mengurangkan beban kos yang ditanggung pesawah di negeri itu.
“Alhamdulillah, bantuan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban yang ditanggung pesawah di Selangor,” katanya.
Sebelum ini, Kerajaan Selangor turut mengumumkan bantuan tambahan RM500 kepada pesawah sebagai usaha membantu meringankan beban golongan berkenaan.
Bayaran pendahuluan IPKP sebanyak RM200 sehektar kepada pesawah di Semenanjung dijadualkan mula disalurkan secara berperingkat mulai 19 Mei ini.