Bumiputera perlu beralih kepada penguasaan rantaian lebih besar – TPM Zahid

Foto fail RTM

KUALA TERENGGANU, 2 Jun – Bumiputera perlu beralih daripada perniagaan kecil kepada penguasaan rantaian nilai yang lebih besar bagi memperkukuh kedudukannya dalam ekonomi negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejayaan ekonomi perlu diterjemahkan kepada pemilikan aset, penciptaan teknologi dan penguasaan pasaran strategik.
  • Penyertaan tanpa pemilikan tidak menjamin penguasaan nilai ekonomi sebenar, terutamanya dalam teknologi data dan ekuiti.
  • Perlu digandakan usaha membangunkan platform digital bumiputera berdaya saing dan melatih pencipta teknologi melalui penguasaan kecerdasan buatan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kejayaan ekonomi bumiputera tidak lagi boleh diukur berdasarkan penyertaan semata-mata, malah ia perlu turut diterjemahkan kepada pemilikan aset, penciptaan teknologi dan penguasaan pasaran yang strategik.

Tambah beliau, penyertaan tanpa pemilikan, tidak mampu menjamin penguasaan nilai ekonomi yang sebenar, terutamanya dalam aspek teknologi data dan ekuiti.

“Pertama, usahawan Bumiputera mesti bergerak daripada penyertaan kepada pemilikan. Kedua, mesti beralih daripada pengguna teknologi kepada pencipta nilai. Ketiga, mesti melangkah daripada pasaran kecil kepada penguasaan rantai nilai yang lebih besar.

“Sekiranya anjakan ini dapat kita laksanakan dengan berani dan tersusun, maka ekonomi bumiputera tidak lagi bergerak di pinggir pasaran, tetapi mula berdiri sebagai kekuatan utama dalam ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Konvensyen Ekonomi Usahawan Bumiputera 2026 di sini hari ini.

Tambah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, usaha perlu dilipat gandakan bagi membangunkan platform digital bumiputera yang berdaya saing.

Ia termasuk mengoptimumkan kekuatan Institusi Pengajian Tinggi seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam membina ekosistem digital yang lebih tersusun, serta melahirkan lebih ramai pencipta teknologi dalam kalangan bumiputera melalui penguasaan teknologi kecerdasan buatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.