Pindaan Akta Sewa Beli selari perkembangan pantas sektor automotif

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Penguatkuasaan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 disifatkan sebagai langkah yang lebih adil kepada pengguna dan selari perubahan landskap industri automotif yang kini berkembang dengan lebih pantas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pindaan membolehkan penyelesaian awal pinjaman lebih telus dan menjimatkan berbanding kadar faedah tetap dan Peraturan 78.
  • Kitaran model kenderaan semakin singkat kerana jenama dan teknologi baharu, menyebabkan kenderaan cepat lapuk dan pengguna menukar lebih kerap.
  • Perubahan itu berisiko menyebabkan lambakan kenderaan terpakai; perlu mekanisme menyerap lebihan, termasuk eksport ke pasaran baharu.

Penganalisis Automotif, Hazeri Samsuri berkata, pindaan itu hadir pada masa yang tepat ketika industri automotif global termasuk di Malaysia, menyaksikan kitaran pengenalan model baharu menjadi semakin singkat berikutan kemunculan lebih banyak jenama dan teknologi baharu, khususnya daripada pengeluar China.

“Model baharu dikeluarkan lebih awal, jika dulu industri lebih kurang lima, enam atau tujuh tahun tetapi sekarang ini kita boleh lihat tiga tahun pun mereka dah tukarkan ke model baharu.

“Ia juga bermakna kenderaan yang anda beli lebih cepat berusia selepas beberapa tahun, jadi mungkin ada yang mampu dan nak tukar kenderaan setiap empat tahun atau mungkin lima tahun, ini lebih mudah dilakukan kerana jumlah bayar balik, jika pinjaman kita nak langsaikan lebih awal, ia lebih telus dan lebih rendah jadi itu memang membantu,” katanya ketika dihubungi RTM.

Menerusi pindaan itu, pengguna dapat menikmati proses penyelesaian awal pinjaman yang lebih telus berbanding sistem terdahulu yang menggunakan kadar faedah tetap dan Peraturan 78.

Menerusi kaedah lama, sebahagian besar bayaran ansuran pada tahun-tahun awal pinjaman digunakan untuk membayar faedah, menyebabkan baki prinsipal berkurangan dengan lebih perlahan.

Bagaimanapun, Hazeri mengingatkan, kemudahan menukar kenderaan dengan lebih kerap akan menyebabkan lambakan kenderaan terpakai dalam pasaran sekiranya tiada mekanisme baharu yang diwujudkan bagi menyerap lebihan bekalan tersebut.

“Kita perlu mencari jalan untuk kenderaan-kenderaan terpakai ini, ia boleh dieksport keluar ke pasaran-pasaran baharu dan ini satu perkara yang memang kita perlu laksanakan.

“Contohnya Jepun, kenderaan-kenderaan mereka dihantar keluar ke kebanyakan negara termasuk Malaysia, jadi kita perlu mencari negara-negara yang kita boleh menjual kenderaan-kenderaan terpakai supaya ia mempunyai nilai yang lebih tinggi,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.