Reformasi Akta Sewa Beli 2026, tingkat ketelusan pembiayaan kenderaan

Pindaan bakal meningkatkan ketelusan, keadilan dan perlindungan kepada pemilik kenderaan

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Pelaksanaan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 yang bermula semalam, merupakan langkah reformasi penting berpaksikan pengguna serta industri automotif negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kaedah Pengurangan Baki dan Kadar Faedah Efektif (EIR) menggantikan kadar rata dan Rule of 78, memberi gambaran kos pembiayaan sebenar.
  • EIR meningkatkan ketelusan dalam pengiraan faedah, memudahkan perbandingan pelan dan memperkukuh hak pengguna mendapatkan maklumat.
  • FMCCAM cadangkan tempoh peralihan 18 bulan, kempen pendidikan awam, piawaian penerangan seragam dan latihan jurujual bagi memastikan peralihan lancar.

Persekutuan Persatuan Syarikat Motor dan Kredit Malaysia (FMCCAM) berpandangan pindaan akan meningkatkan ketelusan, keadilan dan perlindungan kepada pemilik kenderaan.

Presidennya, Datuk Tony Khor berkata sistem pembiayaan sewa beli baharu itu, menggantikan kaedah pengiraan faedah kadar rata dan ‘Rule of 78’ kepada Kaedah Pengurangan Baki dan Kadar Faedah Efektif (EIR).

”Penggunaan EIR membolehkan pengguna memperoleh gambaran lebih jelas mengenai kos sebenar pembiayaan kenderaan, sekali gus membantu mereka membuat keputusan kewangan yang lebih tepat dan berinformasi.

“Pelaksanaan EIR juga meningkatkan ketelusan dalam pengiraan kadar faedah, membuat perbandingan pelbagai pelan pembiayaan serta memperkukuhkan hak pengguna untuk mendapatkan maklumat sebelum membuat komitmen kewangan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Selain itu, sistem baharu tersebut dijangka menawarkan penjimatan faedah yang lebih adil kepada peminjam yang memilih untuk menyelesaikan pinjaman lebih awal daripada tempoh ditetapkan.

FMCCAM bagaimanapun menegaskan kejayaan pelaksanaan reformasi itu bergantung kepada proses peralihan yang tersusun dan lancar melibatkan semua pihak berkepentingan, termasuk pengguna, pengedar kenderaan dan institusi kewangan.

Sehubungan itu, persatuan tersebut mencadangkan tempoh peralihan selama 18 bulan bagi membolehkan industri menyesuaikan diri dengan perubahan sistem pembiayaan berkenaan.

”FMCCAM mengesyorkan kerajaan melaksanakan kempen pendidikan awam secara menyeluruh bertujuan meningkatkan pemahaman pengguna mengenai kaedah pengiraan baharu, selain memperkenalkan piawaian penerangan pinjaman yang jelas dan seragam di seluruh industri.

”Di samping, latihan khusus wajar diberikan kepada jurujual kenderaan bagi memastikan maklumat berkaitan pembiayaan disampaikan secara tepat dan konsisten kepada pelanggan,” katanya.

FMCCAM menegaskan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan dan pihak berkaitan bagi memastikan peralihan kepada sistem EIR berjalan lancar serta memberi manfaat kepada seluruh ekosistem industri automotif dan pengguna.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.