Harga minyak mentah tinggi pacu prospek biodiesel sawit Malaysia

Kenaikan harga minyak mentah meningkatkan daya saing relatif minyak sawit sebagai bahan mentah biodiesel

KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Lonjakan harga minyak mentah susulan ketegangan di Asia Barat berpotensi memberi kelebihan kepada industri sawit Malaysia apabila biodiesel berasaskan minyak sawit menjadi lebih kompetitif berbanding bahan api berasaskan petroleum.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenaikan harga minyak mentah meningkatkan daya saing minyak sawit sebagai bahan mentah biodiesel dan merangsang permintaan serta menyokong harga CPO.
  • Kos tenaga lebih tinggi memperkukuh daya maju bahan api bio dan memperbaiki kedudukan relatif minyak sawit berbanding bahan api petroleum.
  • Fenomena El Nino boleh mengurangkan bekalan dunia, pengeluaran Malaysia dan Indonesia dijangka susut beberapa peratus, kesan memerlukan beberapa bulan.

PublicInvest Research berpendapat, kenaikan harga minyak mentah meningkatkan daya saing relatif minyak sawit sebagai bahan mentah biodiesel, sekali gus berpotensi merangsang permintaan kepada minyak sawit mentah.

“Situasi itu memberi sokongan kepada harga komoditi berkenaan, yang kini berada pada purata RM4,430 satu tan metrik dan berpotensi berada pada paras RM4,500 bagi setiap tan menjelang hujung tahun.

“Kos tenaga yang lebih tinggi meningkatkan daya maju ekonomi bahan api bio serta memperkukuh daya saing relatif minyak sawit sebagai bahan mentah biodiesel,”katanya dalam satu nota kajian.

Firma penyelidikan itu turut memaklumkan, fenomena El Nino berpotensi mengurangkan bekalan minyak sawit dunia dan memberi sokongan kepada harga minyak sawit mentah, dengan pengeluaran Malaysia dan Indonesia dijangka terjejas jika cuaca panas dan kering berpanjangan.

“Pengeluaran sawit kedua-dua negara dijangka menyusut sekitar tiga peratus dan kemarau berpanjangan berpotensi mengakibatkan penurunan lima hingga lapan peratus.

Menurut firma penyelidikan itu lagi, kesan El Nino terhadap pengeluaran tidak berlaku serta-merta kerana tekanan haba dan kekurangan air mengambil tempoh beberapa bulan untuk diterjemahkan kepada kemerosotan hasil buah tandan segar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.