
KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Belanjawan 2027 dijangka menjadi pemangkin tambahan kepada sektor teknologi negara, khususnya industri semikonduktor serta kecerdasan buatan (AI), ketika kitaran pelaburan pusat data dan permintaan berkaitan AI terus mencatatkan perkembangan positif.
- Langkah bersasar dijangka memperkukuh sokongan melalui pembiayaan, insentif, pembangunan ekosistem dan latihan bakat berkemahiran tinggi.
- Strategi semikonduktor negara akan fokus kesinambungan pembangunan ekosistem, reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan termaju dan elektronik bernilai tinggi.
- NSS mensasarkan sokongan fiskal besar, 110 syarikat semikonduktor tempatan dan latihan 60,000 jurutera berkemahiran tinggi.
- Pusat data berkeupayaan AI kekal pemacu permintaan; fasiliti penyejukan cecair naikkan kos modal 25 hingga 35 peratus, buka peluang infrastruktur kuasa dan penyejukan.
Apex Securities Research berpandangan Belanjawan 2027 yang bakal dibentangkan Jumaat ini berpotensi memperkukuh sokongan dasar sedia ada menerusi langkah bersasar meliputi pembiayaan, insentif, pembangunan ekosistem dan latihan bakat berkemahiran tinggi.
“Strategi semikonduktor negara (NSS) akan memasuki fasa baharu dengan tumpuan terarah kepada kesinambungan sokongan pembangunan ekosistem, reka bentuk litar bersepadu (IC), pembungkusan termaju dan aktiviti elektronik bernilai tinggi.
“NSS yang dilancarkan pada 2024 menyasarkan sekurang-kurangnya RM25 bilion sokongan fiskal, pembangunan 110 syarikat semikonduktor tempatan dan latihan 60,000 jurutera berkemahiran tinggi.
“Kami tidak menjangka Belanjawan 2027 akan menetapkan satu jumlah peruntukan khusus secara menyeluruh bagi Fasa 2 atau Fasa 3 NSS, sebaliknya lebih kepada pendekatan yang lebih ideal iaitu meneruskan langkah bersasar meliputi pembiayaan, insentif, pembangunan ekosistem dan bakat,” katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu juga memaklumkan, pusat data pula kekal sebagai pemacu permintaan struktur kepada sektor teknologi, dengan Malaysia dijangka menarik kira-kira AS$49.6 bilion pelaburan modal pembangunan pusat data di rantau Asia Pasifik sehingga 2030.
Katanya lagi, pusat data berkeupayaan AI yang menggunakan sistem penyejukan cecair memerlukan kos modal sekitar 25 hingga 35 peratus lebih tinggi berbanding kemudahan konvensional, sekali gus membuka peluang lebih besar kepada penyedia infrastruktur kuasa, sistem penyejukan, suis elektrik dan peralatan teknologi.