
KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Peruntukan Kementerian Kesihatan (KKM) dijangka terus meningkat dalam Belanjawan 2027 bertujuan terus memperkukuh perkhidmatan kesihatan awam.
- Inflasi kos kesihatan meningkat daripada 1.4% pada 2024 kepada 3.0% pada 2025; kos insurans melonjak hampir 9%.
- Belanjawan 2027 dijangka memberi tumpuan kepada lima bidang: akses berkualiti berpatutan, kurangkan kesesakan, kukuhkan tenaga kerja, pencegahan, naik taraf fasiliti.
- Kekangan kapasiti hospital awam mendorong pesakit ke hospital swasta; katil awam hanya berkembang satu peratus antara 2019 dan 2024.
Phillip Capital Research menjangkakan pertambahan peruntukan itu, berdasarkan peningkatan kos penjagaan kesihatan yang mencecah tiga peratus tahun lepas dan bakal menjadi antara cabaran yang perlu diberi perhatian dalam Belanjawan 2027.
“Peningkatan peruntukan KKM penting ketika inflasi kesihatan negara meningkat daripada 1.4 peratus pada 2024 kepada 3.0 peratus pada 2025, terutama selepas kos insurans melonjak hampir 9.0 peratus.
“Sebahagian besar peruntukan dijangka terus disalur kepada hospital dan kemudahan kesihatan awam bagi meningkatkan akses kepada rawatan berkualiti pada kos berpatutan, mengurangkan kesesakan serta memperkukuh kapasiti sistem kesihatan negara.
“Tekanan kos kesihatan turut berpunca daripada peningkatan penyakit tidak berjangkit, kos rawatan perubatan serta keperluan pelaburan dalam teknologi perubatan yang semakin canggih,” katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu juga berpendapat, kekangan kapasiti hospital awam dijangka terus mengakibatkan sebahagian permintaan rawatan beralih kepada hospital swasta, dengan angka katil hospital awam berkembang hanya satu peratus bagi tempoh 2019 hingga 2024, berbanding tiga peratus bagi hospital swasta.
“Belanjawan 2027 dijangka memberi tumpuan kepada lima bidang utama iaitu memperluas akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti pada kos berpatutan, mengurangkan kesesakan fasiliti awam, memperkukuh tenaga kerja kesihatan, meningkatkan pencegahan penyakit serta menyelenggara dan menaik taraf klinik dan hospital kerajaan,”katanya.