Jawatankuasa Penasihat SKP perkukuh pelaksanaan Akta Kredit Pengguna

Foto SKP

KUALA LUMPUR, 31 Oktober – Penubuhan Jawatankuasa Penasihat Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) bakal memperkukuh penyelarasan dasar antara kementerian dan agensi, selain menyokong pelaksanaan Akta Kredit Pengguna 2025 (AKP).

RINGKASAN BERITA AI
  • Jawatankuasa memastikan perlindungan pengguna kredit merentasi sektor secara teratur dan menyeluruh.
  • Mesyuarat sulung bincang peralihan kepada kadar faedah efektif bagi caj faedah lebih telus dan adil.
  • Fokus pada rangka kerja produk kredit patuh Syariah serta pendaftaran agensi kutipan hutang dan pembeli pinjaman.

Pengerusi Eksekutif SKP Abu Hassan Alshari Yahaya memaklumkan, jawatankuasa itu berperanan memastikan pengguna kredit merentasi pelbagai sektor mendapat perlindungan secara lebih teratur dan menyeluruh.

“Penubuhan Jawatankuasa Penasihat ini membolehkan isu-isu rentas sektor dibincangkan secara kolektif, seterusnya memastikan AKP dilaksana dengan konsisten dan terselaras bagi memperkukuh perlindungan pengguna.

“Pandangan serta syor yang dikemukakan turut membantu SKP dalam menasihati Menteri Kewangan dan Kerajaan berhubung dasar sektor kredit pengguna serta perlindungan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau lagi, jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Seksyen 36 AKP itu menghimpunkan wakil pengurusan kanan kementerian, pengawal selia dan agensi berkaitan ekosistem kredit pengguna.

Mesyuarat sulung jawatankuasa berkenaan pada 28 Oktober lalu membincangkan pelbagai perkara berkaitan antaranya usaha mewujudkan caj faedah lebih telus dan adil menerusi peralihan daripada kaedah kadar faedah tetap sama rata dan Peraturan 78 kepada kadar faedah efektif.

Turut diberi perhatian, pembangunan rangka kerja produk kredit patuh Syariah serta keperluan memastikan agensi kutipan hutang dan pembeli pinjaman terjejas berdaftar dengan SKP.

Mesyuarat turut menyentuh hala tuju penyatuan industri kredit pengguna bukan bank di bawah satu pengawal selia serta persediaan bagi Fasa 2 AKP.

Fasa berkenaan akan melibatkan pemberi pinjam wang, pemegang pajak gadai, penyedia perkhidmatan Ar-Rahnu dan penyedia sewa beli.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.