
KUALA LUMPUR, 31 Oktober – Pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berpotensi meningkatkan kos perbelanjaan isi rumah, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
- Peluasan skop GST boleh menjejaskan kuasa beli pengguna dan mengehadkan pertumbuhan penggunaan swasta sebagai penyumbang utama KDNK.
- Golongan berpendapatan rendah lebih terjejas kerana perbelanjaan asas mengambil peratusan lebih besar daripada pendapatan mereka.
- SST boleh memperkukuh kutipan hasil fiskal namun asas cukai yang sempit mengehadkan potensi peningkatan hasil berbanding GST.
- Penambahbaikan SST perlu fokus pada struktur kadar, keluasan asas dan pematuhan supaya beban cukai tidak dipindahkan kepada pengguna.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, peluasan skop itu boleh memberi kesan kepada kuasa beli pengguna serta mengehadkan pertumbuhan penggunaan swasta yang merupakan penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Sekiranya GST diperkenalkan semula, skop cukai yang lebih luas berpotensi meningkatkan kos penggunaan isi rumah.
“Kesannya mungkin lebih ketara kepada golongan berpendapatan rendah kerana perbelanjaan untuk keperluan asas merangkumi bahagian yang lebih besar daripada pendapatan mereka,” katanya ketika dihubungi RTM.
Beliau berkata, sebarang perubahan terhadap sistem percukaian perlu mengambil kira kesan terhadap agihan pendapatan serta disokong mekanisme perlindungan bersasar bagi membantu golongan rentan.
Mengulas penambahbaikan sistem Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST), Mohd Sedek berkata, usaha memperkukuh sistem itu berpotensi meningkatkan kecekapan kutipan hasil negara, namun perlu mengambil kira batasan asas cukainya.
“Dari perspektif fiskal, SST membolehkan kerajaan menjana hasil, namun asas cukainya yang lebih sempit berpotensi mengehadkan keupayaan meningkatkan hasil berbanding GST.
“Cabaran dasar adalah untuk mengimbangi kecekapan kutipan hasil, keadilan pengagihan pendapatan dan pertumbuhan ekonomi supaya kerajaan mempunyai kapasiti fiskal yang mencukupi untuk membiayai pembangunan negara tanpa menjejaskan permintaan domestik,” katanya.
Tambah beliau, penambahbaikan SST perlu memberi tumpuan kepada struktur kadar cukai, keluasan asas cukai dan mekanisme pematuhan bagi mengelakkan beban percukaian dipindahkan secara berlebihan kepada pengguna akhir.
Sebelum ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata, kerajaan belum mempertimbangkan pelaksanaan semula GST selagi pendapatan rakyat belum mencapai tahap munasabah dan kos sara hidup masih membebankan.