
KUALA LUMPUR, 2 Jun — YTL Artificial Intelligence (AI) Cloud melakar sejarah industri teknologi negara apabila muncul sebagai antara penyedia infrastruktur awan pertama di Asia yang berjaya meraih status elit NVIDIA Exemplar Cloud, sekali gus meletakkannya dalam kelompok elit hiperskala global dan awan khusus kecerdasan buatan (AI).
- Pengiktirafan NVIDIA membuktikan YTL memenuhi dan melebihi piawaian prestasi, kecekapan serta kebolehskalaan.
- Program Exemplar Cloud direka untuk mengurangkan variasi serta kemerosotan prestasi dalam persekitaran awan awam.
- YTL mempunyai bakat dan infrastruktur untuk meneraju pembangunan AI bertaraf dunia, menangani beban kerja intensif dan mengurangkan risiko operasi.
Menurut YTL, inisiatif NVIDIA Exemplar Cloud merupakan pelan tindakan operasi dan seni bina teliti yang direka khas untuk mengurangkan variasi serta kemerosotan prestasi yang sering berlaku dalam persekitaran awan awam.
“Pengiktirafan antarabangsa itu membuktikan bahawa infrastruktur penyedia perkhidmatan awan berkenaan berjaya memenuhi serta mengatasi piawaian ketat NVIDIA daripada aspek prestasi, kecekapan dan kebolehskalaan,” menurut kenyataan itu.
Sementara menurut Pengarah Urusan YTL Power International, Datuk Seri Yeoh Seok Hong, status sebagai antara penerima pengiktirafan NVIDIA Exemplar Cloud yang pertama di Asia membuktikan syarikat itu memiliki bakat dan infrastruktur yang diperlukan untuk meneraju pembangunan infrastruktur AI bertaraf dunia, dengan prestasi setanding penyedia hiperskala terkemuka di peringkat global.
Ketua Pegawai Eksekutif YTL AI Cloud, Philip Lin pula berkata pengiktirafan tersebut membuktikan kemampuan organisasi mengendalikan beban kerja AI intensif, sekali gus mengurangkan risiko operasi serta membolehkan pelanggan memberi tumpuan kepada objektif utama perniagaan.
Sejak Exemplar Cloud diperkenalkan pada tahun lepas, enam NCP telah mencapai status itu iaitu CoreWeave, Crusoe, Lamda, Nebius dan YTL AI Cloud.