
KUALA LUMPUR, 6 Oktober -Tindakan diplomatik menerusi mekanisme ASEAN serta hubungan dua hala akan diambil bagi menangani jerebu rentas sempadan secara bersepadu demi melindungi kesejahteraan rakyat.
- Rundingan telefon 24 Ogos antara menteri Malaysia dan Indonesia untuk mempercepat pemadaman kebakaran di kawasan terjejas.
- Malaysia mengemukakan tawaran bantuan rasmi termasuk operasi water bombing, sokongan pesawat amfibi dan Operasi Pembenihan Awan.
- Indonesia bersetuju menerima tawaran Malaysia pada 18 September 2026, penyelarasan penghantaran bantuan sedang dijalankan oleh Kementerian Luar Negeri kedua-dua negara.
- Jabatan Alam Sekitar terima 1,447 aduan pembakaran terbuka; laksanakan 2,132 tindakan termasuk notis, kompaun dan tindakan mahkamah.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata antara langkah dilaksana termasuk melaksanakan rundingan secara langsung dengan Menteri Lingkungan Hidup Indonesia menerusi panggilan telefon pada 24 Ogos lalu bagi mempercepat usaha pemadaman kebakaran di kawasan terjejas.
Sehubungan itu, Malaysia telah mengemukakan tawaran bantuan rasmi pada merangkumi operasi pemadaman dari udara melalui ‘water bombing’ sokongan pesawat amfibi dan Operasi Pembenihan Awan (OPA).
“Hasil usaha diplomatik tersebut, Kerajaan Indonesia telah bersetuju menerima tawaran bantuan Malaysia pada 18 September 2026 semasa pertemuan Timbalan Perdana Menteri dengan Presiden Indonesia. Penyelarasan penghantaran bantuan kini sedang dilaksanakan oleh kedua-dua negara melalui Kementerian Luar Negeri (KLN),” katanya ketika menjawab soalan dikemukakan Datuk Yusuf Abd Wahab (Tanjong Manis), di Dewan Rakyat.
Dalam sidang sama, Datuk Seri Arthur turut memaklumkan sebanyak 1,447 aduan pembakaran terbuka telah diterima Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi tempoh 3 Ogos hingga 29 September lalu.
Susulan itu, sebanyak 2,132 tindakan telah dilaksanakan JAS termasuk mengeluarkan 41 notis arahan, 27 kompaun dan tiga tindakan mahkamah.
Jelasnya, langkah berkenaan merupakan antara usaha pencegahan dan penguatkuasaan domestik bagi menangani kejadian pembakaran terbuka serta mengurangkan risiko kemerosotan kualiti udara.