
KUALA LUMPUR, 6 Oktober -Peralihan sistem MyIMMs kepada Sistem MyNIISe (National Integrated Immigration System) sedang dipercepat bagi memperkukuh keupayaan sistem sedia ada, termasuk dari aspek keselamatan dan integriti.
- MyNIISe dalam fasa peralihan, pelaksanaan berperingkat dijangka suku pertama tahun depan.
- Penggantian MyIMMs selepas hampir 30 tahun penggunaan kerana infrastruktur usang dan rekod penyelenggaraan bermasalah.
- Ambil kira risiko sabotaj dalaman serta isu personel dalam penambahbaikan sistem.
- Perkongsian maklumat risikan antara agensi diperkukuh jika ancaman boleh menjejaskan keselamatan negara.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu turut mengambil kira risiko sabotaj dalaman, selain faktor infrastruktur dan rekod penyelenggaraan sistem MyIMMs yang telah digunakan hampir 30 tahun.
Menurutnya, sistem MyNIISe kini dalam fasa peralihan dan dijangka dilaksanakan sepenuhnya secara berperingkat pada suku pertama tahun depan.
“Kerana itu, kita mengambil beberapa langkah ke hadapan dengan menjangkakan keperluan untuk menaik taraf sistem yang telah digunakan hampir tiga dekad.MyIMMs telah digunakan oleh Jabatan Imigresen hampir 30 tahun. Justeru, kita telah melengkapkan proses perolehan dan menggantikannya dengan Sistem MyNIISe (National Integrated Immigration System), yang kini berada dalam fasa peralihan.
“Insya-Allah, jika semuanya berjalan mengikut jadual, pelaksanaan sistem ini pada suku pertama tahun depan akan menyaksikan sistem imigresen kita dinaik taraf, sekali gus mengatasi kelemahan sistem lama.Kita turut mengambil kira aspek infrastruktur yang telah usang, rekod penyelenggaraan yang bermasalah serta isu berkaitan personel.
“Kesemua aspek itu diberi perhatian dan kini kita sedang melaksanakan usaha penambahbaikan secara lebih agresif dan menyeluruh,” katanya ketika menjawab soalan tambahan dari ahli parlimen Kota Bharu mengenai penggodam sistem MyIMMs sehingga berjaya mengeluarkan lebih seribu pas lawatan kerja sementara di Parlimen.
Sementara itu tegas beliau , perkongsian maklumat risikan antara agensi turut diperkukuh sekiranya sesuatu ancaman dikenal pasti boleh menjejaskan
keselamatan dan integriti negara.