
KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Isu keberadaan warga Myanmar di Malaysia merupakan masalah legasi; khususnya membabitkan kedudukan mereka yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
- Perdana Menteri: isu perlu diselesaikan secara berperingkat dan menyeluruh.
- Tindakan mesti mematuhi undang-undang antarabangsa.
- Pemindaaan peraturan memerlukan masa dan rundingan bersama PBB.
- Sokong tindakan tegas supaya urusan dikendalikan oleh jentera negara, bukan pegawai luar.
Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isu berkenaan perlu diselesaikan secara berperingkat dan menyeluruh.
Jelasnya, sebarang tindakan mengenai isu berkenaan perlu diatasi sebaiknya, tanpa mengenepikan undang-undang antarabangsa.
“Isu legasi UNHCR itu dibawa secara rasmi oleh kerajaan pada ketika itu. Oleh itu, untuk meminda peraturan berkenaan seperti yang diterangkan Menteri Dalam Negeri, ia mengambil masa dan memerlukan rundingan bersama Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) supaya tidak dilihat mengetepikan peraturan antarabangsa.
“Saya bersetuju dengan Larut bahawa tindakan dan keputusan tegas perlu diambil kerana urusan negara kita seharusnya dikendalikan oleh jentera kita sendiri dan tidak diuruskan pegawai luar yang menentukan siapa yang layak dan siapa yang tidak layak,” katanya ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut) mengenai isu pengeluaran kad UNHCR terhadap pelarian di Malaysia.