
KUANTAN, 6 Oktober -Seorang pelajar wanita ditemukan meninggal dunia di bilik sewanya di sebuah rumah di Jalan Air Putih 2, Kuantan, awal pagi tadi.
- Polis menerima panggilan lelaki memaklumkan berlaku pergaduhan antara dirinya dan teman wanitanya pada 4.32 pagi.
- Ketika tiba, polis menemui mangsa berusia 19 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri di aras bawah rumah.
- Pemeriksaan pakar forensik HTAA mendapati kesan tekanan pada bahagian leher dan mengesahkan mangsa meninggal dunia.
- Seorang lelaki berusia 19 tahun ditahan di lokasi bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Ashari Abu Samah berkata, polis menerima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan telah berlaku pergaduhan antara dirinya dengan teman wanitanya di rumah berkenaan pada 4.32 pagi.
“Ketika tiba di lokasi kejadian polis menemukan mangsa berusia 19 tahun itu, dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam sebuah bilik di aras bawah rumah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Hasil pemeriksaan pakar forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) mendapati terdapat kesan tekanan pada bahagian leher mangsa dan disahkan meninggal dunia.
Susulan itu, seorang lelaki berusia 19 tahun telah ditahan di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.