Kapal angkasa BepiColombo tiba di Utarid selepas 8 tahun

Permukaan Utarid berwarna kelabu gelap, serupa dengan Bulan, dengan banyak kawah hentaman, dataran dan tebing yang terbentuk akibat penyejukan dan pengecutan planet secara beransur-ansur/Foto NASA

PARIS, 22 November – Kapal angkasa bersama Jepun dan Eropah, BepiColombo, berjaya memasuki orbit planet Utarid selepas menempuh perjalanan selama lapan tahun merentasi ruang angkasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • BepiColombo tiba di Utarid selepas lapan tahun perjalanan dan kini mula menganalisis data yang dikumpul.
  • Prob Eropah akan terbang rendah pada 480 kilometer; prob Jepun mengikuti orbit elips sehingga 11,000 kilometer untuk mengkaji medan magnet.
  • Utarid mengalami suhu melampau -180 hingga 450 darjah Celsius dan mempunyai teras logam besar, sekitar 60% daripada isipadu planet.

Agensi Angkasa Eropah (ESA) menyatakan, kapal angkasa ini telah melakukan perjalanan jauh untuk sampai ke Utarid, planet yang paling dekat dengan Matahari bermula Oktober 2018.

“BepiColombo sudah mula menganalisis data yang berjaya dikumpulkannya,” jelasnya menerusi hantaran di platform X.

Satelit seberat empat tan itu telah merentasi jarak lebih 10 bilion kilometer serta melintasi sembilan planet lain dalam perjalanannya menuju ke planet yang paling hampir dengan Matahari tersebut.

Awal tahun ini, ketua misi ESA Santa Martinez berkata misi berkenaan bakal menawarkan pemandangan Utarid yang belum pernah dilihat oleh manusia serta membuka lembaran baharu dalam pemahaman mengenai sistem suria.

Mengikut perancangan misi, prob (bahagian) kapal angkasa milik Eropah dan Jepun itu dijadualkan berpisah antara satu sama lain untuk bergerak ke orbit masing-masing pada 9 dan 10 Disember depan.

“Prob milik Eropah akan mengkaji permukaan planet tersebut dengan terbang rendah pada jarak hanya 480 kilometer di atas Utarid.

“Manakala, prob milik Jepun akan mengikuti orbit elips yang membawanya sejauh 11,000 kilometer dari planet berkenaan dalam usaha mengkaji medan magnet Utarid dengan lebih mendalam,” jelasnya.

Dengan suhu ekstrem yang berubah-ubah daripada serendah -180 darjah Celsius hingga mencecah 450 darjah Celsius, Utarid sering terdedah kepada sinaran radiasi yang amat kuat daripada Matahari.

Walaupun merupakan planet terkecil dalam sistem suria, Utarid mempunyai teras logam yang besar, menyumbang kira-kira 60 peratus daripada isipadu planet ini, manakala perkadaran ini di Bumi hanya kira-kira 15 peratus.

Sebagai rekod, kuarters Mariner 10 milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) merupakan kapal angkasa pertama yang melintasi planet berkenaan pada tahun 1974.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.