
GEORGE TOWN, 6 Oktober -Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Georgetown atas dua pertuduhan rogol dan melakukan perbuatan luar tabii terhadap seorang remaja.
- Chuah Seng Seng, 71, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Hokkien.
- Didakwa merogol remaja perempuan 18 tahun dalam tandas lelaki tingkat 2 Gurney Plaza; pertuduhan bawah Seksyen 376(1).
- Pertuduhan kedua ialah persetubuhan bercanggah aturan tabii di bawah Seksyen 377C, hukuman hingga 20 tahun dan sebatan.
- Jaminan RM14,000 dengan seorang penjamin tempatan; serah pasport, lapor bulanan, larang mendekati mangsa; kes ditangguh 16 November.
Chuah Seng Seng, 71, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Juraidah Abbas selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Hokkien.
Tertuduh didakwa merogol remaja perempuan berumur 18 tahun itu di dalam tandas lelaki di tingkat 2, Pusat Beli Belah Gurney Plaza.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja telah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.
Tertuduh didakwa bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah seksyen yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara hingga 20 tahun dan sebatan.
Kedua-dua kesalahan dilakukan pada 4.30 petang pada 1 Oktober lalu di lokasi sama.
Mahkamah menetapkan jaminan RM14,000 dengan seorang penjamin warga tempatan bagi kedua-dua pertuduhan
Selain itu, tertuduh dikehendaki melaporkan diri setiap 1 haribulan pada setiap bulan di balai polis terdekat, serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan dilarang mendekati atau mengganggu mangsa atau saksi.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Anuarul Hakim Abdul Muen. Manakala tertuduh diwakili peguam K.Mahendran.
Kes ditangguhkan hingga 16 November depan untuk serahan dokumen.